RSS

[Duta Mahasiswa] Penjelasan Sebuah Tamparan

23 Mar

Barisan Kepimpinan Pelajar Universiti Teknologi Petronas
MPPUTP Students' Ambassador||ISC United Contribution, Generates Excellence

Assalamualaikum warahmatullah & Salam Perpaduan

Syukur kepada Allah SWT kerana limpahan taufik dan hidayahnya, seluruh warga pelajar Universiti Teknologi Petronas masih dilanjutkan pinjaman nyawa, kesihatan dan segala nikmat keamanan, bonus tambahan sebagai penuntut di institusi pengajian tidak lain untuk menyemai buah ilmu dan budi.Alhamdulillah.

Julung kalinya, sebagai mewakili barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2012 ingin menyatakan ucapan memohon maaf kepada rakan-rakan pelajar muslim dan bukan muslim yang mungkin tersinggung berikutan kekhilafan dipihak saya dan juga MPP yang berlaku dilaman sosial facebook yang telah mencetuskan tohmahan dan perspektif yang kurang enak terhadap karisma dan imej sebuah badan pelajar tertinggi. Kami dipihak MPP semestinya berlapang dada menerima apa jua bentuk kritikan membina selagi dalam batasan akhlak serta kesudian sahabat-sahabat untuk lebih prihatin menimbangtara corak perjalanan MPPUTP dari kaca mata luar. Walaubagaimana pun, penulisan kali ini juga bertujuan menyampaikan pencerahan dalam beberapa perkara yang diperselisih dan disalahertikan oleh segelintir daripada kita. InsyaAllah.

Penjelasan Sebuah Tamparan

Daripada suatu sudut positif, komen-komen yang dilontar walaupun lebih berbaur tohmahan dan segala macam persepsi negatif yang ditudingkan kepada Majlis Perwakilan Pelajar secara khususnya sedikit sebanyak telah mematangkan dan membuahkan satu inspirasi baru yang pasti digarap dan dimuhasabah oleh barisan MPP. Yang pasti ianya tamparan yang menuntut gandaan usaha daripada pihak MPP untuk lebih meraikan dan mengharmonikan  suasana yang sedia ada.

Untuk makluman, saya masih mendasari beberapa rasional tertentu dalam tindakan saya memaparkan poster promosi Seminar Fiqh Dakwah Mahasiswa – program yang dianjur bersempena Intelectual Festival (i-Fest) dengan mempamerkannya sebagai photo srcutp group. Jauh sekali berniat mengambil tindakan tidak popular untuk kepentingan diri atau organisasi. Secara sedar, laman group srcutp walaupun setakat ini hanya mempunyai tidak sampai 2000 ahli, ianya tetap aktif dan hangat dengan diskusi, notis dan update semasa dalam dan luar kampus. Perkembangannya dituruti oleh pengikut-pengikut yang setia, paling tidak mungkin sekadar melepaskan rasa ingin tahu input-input yang dikongsi. Group ini dihidupkan oleh para pelajar yang latarbelakangnya pelbagai. Keberadaannya penuh variasi. Pelajar international, rakan-rakan daripada bangsa Melayu, Cina, India dan lainya mewarnai secara luaran dan isi kandungan perbincangan yang cukup fahami. Alhamdulillah ianya menjadi ruangan yang cukup berguna dan tidak dapat tidak mesti dimanfaatkan oleh setiap pelajar. Berikut adalah rasional-rasional yang dipertimbangkan.

Rasional pertama – Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar sesi kali ini menjuruskan satu misi iaitu Ke Arah Membangunkan Integriti Mahasiswa melalui aktiviti dan inisiatif dalam aspek keagamaan, kebudayaan dan kesukanan  dalam salah satu daripada 4 misi teras yang dicanangkan. Untuk makluman sahabat-sahabat, MPP telah menggariskan nilai integriti sebagai intipati yang mesti dicapai dalam segala program dan inisiatif terutama yang digerakkan oleh pelajar. Selari dengan dasar ini, MPP berusaha memperlihatkan tindakbalas dan idea yang lebih terbuka dan telus dalam segala bentuk kolaborasi dan persefahaman dengan menjadikan nilai integriti sebagai prasyarat yang mesti dipatuhi. Kepimpinan MPP kali ini dengan jelas akan menyokong dan mengalu-alukan inisiatif diperingkat pelajar ataupun universiti selaras dengan pembangunan integriti dan jati diri selain menghidupkan agenda-agenda intelektual, dan ianya mesti merangkumi ketiga-tiga atau salah satu elemen yang telah disebutkan.

Rasional kedua – Bahang Intelectual Festival wajar diteruskan. MPP sebagai badan pelajar tertinggi walaupun terlalu banyak sangkaan negatif segelintir daripada warga pelajar, ia tetap berperanan dalam menghidupkan suasana intelek dalam penganjuran seumpama ini dalam apa jua kaedah yang mampu dicapai. MPP tetap berpengaruh dalam membantu menyebarluas capaian maklumat oleh para pelajar termasuk promosi tanpa membelakangkan pihak-pihak tertentu selagi mana rasional pertama ditepati. Tanggapan bahawa MPP hanya perlu tertumpu kepada urusan kebajikan dan hal ehwal semasa kampus mesti diperbetulkan dan inilah yang sedang di touch up oleh barisan MPP sesi ini selain improvement untuk lebih mantap dan sistematik. Untuk pengetahuan, selain Festival Intelektual, beberapa function lain yang berlangsung serentak seperti HSE Week, IRC Carnival, MAKK dan lain-lain juga mesti mendapat tempat dan perhatian oleh pelajar. Cuma segelintir daripada kita yang terus jump to the conclusion, MPP bias dan mengikut telunjuk badan agama, hanya kerana meletakkan poster program keagamaan sebagai header photo. Perletakan promosi tersebut hanya bersifat sementara yang tidak memberikan apa-apa kepentingan khusus kepada MPP, namun sekurang-kurangnya ramai pihak telah membuka mata sesungguhnya program seumpama itu wujud dan menyeru penglibatan semua pelajar. Persoalannya, adakah tanggapan yang sama juga akan diberikan oleh pelajar jika promosi HSE Week, IRC Carnival dan MAKK dilakukan dengan metod yang sama? Kenapa kita perlu menjadi begitu sinis kepada program keagamaan semata-mata? Tidak dinafikan wujud kelemahan dipihak kami sekiranya tindakan meletakkan promosi event-event tertentu sebagai group photo dianggap perkara yang agak berlebihan.

Rasional ketiga – Antara Toleransi Agama dan Sensitiviti. Alhamdulillah secara tidak sengaja, sekarang kita lihat masih ramai dalam kalangan mahasiswa UTP yang terlalu prihatin dan cakna dengan isu-isu seumpama ini walaupun pada pandangan mereka ianya dianggap sensitif dan desctructive. Sekadar pencerahan yang saya kira penting, program Seminar Fiqh Dakwah Mahasiswa merupakan program terbuka kepada semua lapisan agama, termasuk Islam, Kristian, Hindu dan Buddha. Walaubagaimanapun, pendekatan ini perlu dijelaskan dengan baik kerana bimbang akan tercetusnya perkara yang tidak diingini. Ianya merupakan platform yang menyediakan ruang dan peluang yang cukup luas untuk membincangkan dan berkongsi input berkenaan agama. Persoalan dan sebarang keraguan amat dialu-alukan untuk mencapai matlamat program iaitu mencari titik persamaan antara agama disamping tujuan lain melihat kebenaran beragama melalui sudut pandang intelektual, fakta dan kelimuan, jujur dan ikhlas dalam benar-benar mempraktikkan agama sebagai pedoman hidup.

‘Say, ‘O people of the Books, ‘come to common terms as between us and you, that we worship none but Allah, that we associate no partners with Him (in His powers and divine attributes), that we erect not from among ourselves lords and patrons other than Allah.’ If then they turn back say you ‘Bear witness that we are Muslims.’ (Bowing) to the will of God.” {Al-Imran 3:64}

Berbeza keadaannya, bagi program yang sama tetapi pendekatannya berbentuk keras dan emosional, demonstrasi dan provokasi, sebaliknya seminar ini dikelaskan sebagai avenue yang terbaik dan matang sebagai medium diskusi dan tidak wajar disifatkan sebagai suatu yang sensitif. Malahan, jurang dan sensitivi keagamaan mampu didekatkan apabila semua agama mampu berdiskusi secara ilmiah seumpama ini. Jika sahabat-sahabat lihat, kejayaan kampus UTP dan penganjuran Interfaith Understanding Dialogue (InFUD) sejak dua tahun penganjurannya, telah berjaya mengharmonikan masyarakat berbilang agama. Perkara yang sama dan tidak banyak berbeza dengan apa yang dianjurkan bersempena festival tahun ini. Objektifnya jelas, iaitu demi mencari titik persamaan yang didasari ilmu, logik dan paling penting keterbukaan sesuatu pihak untuk berdiskusi tentang pegangan akidah masing-masing. Toleransi agama bukan semata apabila kita dapat hidup dengan harmoni tetapi terus stagnant dalam hubungan bermasyarakat, tetapi juga perlu juga untuk sampai kepada tahap kesediaan untuk berdiskusi secara ilmu tanpa meninggalkan dua perkara, saling bertoleransi dan menghormati.

Antara Isu dan Isi

Rakan-rakan pelajar yang prihatin. Saya secara peribadi meneliti feedbacks yang diterjahkan kepada MPP, ada segelintirnya terang-terangan menyalahkan, segelintir pula ada yang bersetuju dan segelintir lagi tidak nampak apakah isu ini wajar dibangkitkan. Adakah ianya benar-benar menjadi isu yang perlu diperbesarkan sehingga ada dikalangan kita hilang etika dan pertimbangan dalam melontarkan komen seumpamanya? Jika dilihat, isunya mungkin hanya kerana meletakkan gambar promosi sebagai group header. Boleh jadi isunya adalah sensitiviti agama yang dilihat ekstrem. Dan ada juga yang melihatnya sebagai isu bias kepada sesetengah pihak sahaja. Sahabat-sahabat boleh berbeza pandangan, adapun dipihak MPP kami meraikan capahan pandangan asalkan tidak bertentangan dengan prinsip yang sahih dalam batasan akhlak.

Ironinya, sebahagian besar pelajar yang mengambil sikap protes terhadap isu ini merupakan pelajar Muslim. Bahkan boleh dibilang mereka yang terdiri daripada non-muslim yang berpendirian bahawa sememangnya ada elemen-elemen yang perlu diperbaiki. Timbul persoalan, adakah mereka benar-benar serius untuk menyangkal sensitiviti, bertindak sebagai individu muslim yang cakna dengan dakwaan yang mereka ciptakan sendiri? Kritikan demi kritikan dilontarkan. Apakah asas-asas yang diambilkira dalam pertimbangan tersebut, rasional atau emosional sehingga ada yang terbabas dari etika yang sepatutnya? Inilah yang saya maksudkan antara isu dan isi. Terlalu ramai daripada yang terikut-ikut menghangatkan isu walaupun tidak tahu pucuk pangkal sehingga isi yang sepatutnya dihadam, tenggelam dan terus luput tanpa mendapat perhatian. Terlalu ramai pula yang excited berbicara soal isu, dengan meninggalkan intipati program yang sebenar. Buka hati, buka minda dan bukan bertindak dan berkata-kata diluar rasional lebih-lebih lagi dalam ledakan media sosial twitter dan facebook yang tidak terbatas. Sesungguhnya, posting kali ini tetap sedikit sebanyak berniat menegur dan  mendidik kepada semua pihak, baik pelajar, MPP dan yang lainnya. InsyaAllah.

Harapan Untuk Semua

Akhirul kalam, mudah-mudahan segala apa yang cuba disampaikan samada secara tersurat atau tersirat tidak hanya bermaksud untuk menyalahkan mana-mana pihak secara semberono. Ianya tidak lain hanya untuk koreksi dan refleksi kepada setiap daripada kita baik sebagai sebuah organisasi atau individu supaya ruang-ruang kebaikan dan persefahaman terbuka luas. Ada diantara kita cukup hebat berblog, bertwitter, berfacebook dan sebagainya dengan followers yang mungkin ribuan. Ramai juga dalam kalangan kita yang begitu kritikal dan kritis dalam mengutarakan hujah. Harapan peribadi saya, teruskan potensi dan bakat yang ada disamping cuba menilai kembali niat asal kita berbuat demikian. Jauhkan dari sifat-sifat yang sekadar hendak menambat perhatian umum, mencetus kontroversi tanpa asas, melebar jurang persefahaman antara pelajar seumpamanya. Pentingkah untuk kita menjaga adab-adab sebegini? Sahabat-sahabat, rakan taulan. Cabaran kepada sebahagian besar kepada kita mutakhir ini adalah bagaimana mengawal dan berkomunikasi dialam siber yang pantas dan tidak terbatas. Teguran Allah SWT; “ Ingatlah ketika dua malaikat mencatat perbuatan manusia, yang satu duduk disebelah kanan dan yang lain disebelah kiri. Tidak ada suatu kata yang diucapkan melainkan ada disisinya malaikat pengawas yang selalu siap mencatat “.

Kita mungkin hebat menulis,mengomen dan berbicara. Malaikat jauh lebih hebat daripada kita. Jadilah lebih matang dalam aspek-aspek kita sebagai seorang pelajar, lebih-lebih lagi sebagai seorang pelajar Muslim. Malang bagi kita apabila asyik berbicara soal sensitiviti, soal racist, soal-soal kebajikan umum, condemn orang itu dan ini, tapi soal agama sendiri kita ambil sambil lewa. Soal hubungan kita dengan Tuhan tidak pernah diungkit. Soal ke masjid, hadir program-program agama kita kesampingkan. Kalau elemen-elemen yang maha penting seperti ini kita tidak kuasai, usah berbicara dan mengulas panjang lebar soal hubungan kita sesama manusia, usah terlalu ghairah soal mengkritik walau sesiapa pun. Tepuk dada tanya iman. Juga jangan sampai ada antara kita terlalu inferior dan sinis dengan golongan-golongan yang berulang-alik ke masjid, kalau kita sendiri tidak mengambil bahagian dalam senarai tanggungjawab yang telah diletakkan diatas bahu setiap daripada kita. Kita mengkritik program-program agama padahal kita sendiri mungkin tidak pernah menjejakkan kaki duduk bersama-sama dalam majlis keagamaan. Sama-sama kita hayati dan perbaiki mana-mana aspek yang masih kurang sempurna. Semoga Allah memudahkan segala urusan kita, urusan seharian sesama manusia dan paling penting urusan kita dengan Tuhan yang kita tunduk kepadaNya.

Cukup sekadar itu sebagai maklum balas dalam beberapa perkara yang timbul sebelum ini. Sekali lagi, sebagai mewakili barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar memohon maaf atas tindakan yang mungkin kurang cermat dan teguran yang mungkin sesetengahnya kasar. Seribu kemaafan juga kepada sesiapa yang mungkin masih tidak berpuas hati, dan marah selepas daripada maklumbalas ini disiarkan. Sememangnya kami tidak mampu hendak meraikan kalian yang pelbagai level dan corak pemikirannya dan sudah pasti kami dipihak MPP akan sentiasa menyambut baik saranan dan teguran yang membina yang mudah-mudahan akan turut mematang dan melancarkan gerak kerja kami. InsyaAllah kita sama-sama berlapang dada disamping berusaha meningkatkan kefahaman dan amal kita dalam mengharungi kehidupan sebagai seorang Mahasiswa – MPPUTP Duta Mahasiswa

Yang Di-Pertua

Majlis Perwakilan Pelajar

Universiti Teknologi Petronas

 

Advertisements
 
1 Comment

Posted by on March 23, 2012 in Kampus

 

One response to “[Duta Mahasiswa] Penjelasan Sebuah Tamparan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: