RSS

Intelektualism dan Hedonism: Pandang Sisi Presiden

14 Jun

Intelektualism dan Hedonism: Pandang Sisi Presiden

Alhamdulillah. Pujian-pujian yang tidak terhingga kepada Sang Pencipta, Allah Taala serta junjungan agung Rasulullah kerana pada keduanya, saya beroleh sedikit kekuatan untuk menyusun jari-jemari untuk menulis setelah agak lama tidak mengemaskini blog peribadi, adakalanya juga mewakili suara kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2012. Mudah-mudahan dengan perkongsian yang serba ringkas ini dapat dimanfaatkan oleh segenap lapisan pembaca.

Sungguhpun mutakhir ini, ramai pihak mula bercakap-cakap dalam isu intelektual, soal pembangunan pelajar dan tidak kurang juga dalam isu hedonism. Pertamanya, syabas saya rakamkan kepada teman-teman yang peka dengan persekitaran yang berlaku khususnya didalam kampus tercinta ini tanpa mempedulikan perkembangan diluar, kemudian mampu mengembangkannya sebagai topik perbualan yang berisi menepati hasrat kita untuk mencetak lulusan universiti yang kritis dan berpendirian. Begitulah harapnya InsyaAllah.

Dalam memperkatakan dua pemahaman ini, intelektual dan hedonism, kita bimbang akan penularan salah faham sehingga kita menerimanya sebulat suara, ataupun pada pandangan akal kita ianya boleh diterima oleh norma masyarakat. Kita runsing bilamana berlakunya keadaan maraknya budaya hedonism ini didunia masyarakat intelektual, iaitu kelompok masyarakat yang kita berhadapan pada saat ini. Kita sendiri sebagai golongan terpelajar merupakan asset terpenting yang melangsungkan persekitaran intelek. Terkakisnya sedikit demi sedikit asas intelek dalam pengamatan para mahasiswa bukanlah sesuatu yang kebetulan tetapi telah jelas sebab-sebab yang menjurus kepadanya. Saya merasakan sesuatu yang sedang hilang atau sedang ditarik pada sudut-sudut pelajar kita baik kepada mahasiswa Melayu Islam atau yang lainya.

Saya menyeru teman-teman merenung sejenak beberapa fenomena yang menimpa umat Islam mutakhir ini. Umat Islam  di Palestin berjihad bermati-matian mempertahan maruah agama dan tanahair. Pada mereka tiada hiburan yang mesti diisi dengan lagu-lagu dan suara merdu artis-artis melainkan zikir dan doa kepada Allah SWT. Itulah hiburan mereka hamper setiap hari. Ketakutan dan kematian menyelubungi mereka setiap detik. Di Syria, saudara se-akidah kita dikecam dan dibunuh oleh penguasa yang Muslim pada nama tetapi kafir pada perbuatan yang membunuh anak-anak kecil seperti Firaun. Umat Muslim disana juga tidak pernah ada masa untuk berhibur. Hiburan mereka adalah penghidupan selepas mati ganjaran syahid. Cukup dua situasi sebenar untuk renungan bersama walaupun saya masih boleh senaraikan lebih banyak nama-nama negara umat Islam yang ditindas. Pada zahirnya mungkin kita boleh atasi, kita lawan dengan senjata dan sebagainya. Namun, kebanyakan taktik serangan hari ini lebih halus. Doktrinisasi saraf berlaku setiap detik. Meracuni, melalaikan dan menggoyahkan prinsip umat Islam dan manusia secara umum. Fikirkan dan terus berfikir. Lantas bagaimana diri kita sendiri mempersiapkan persenjataan mental dan fizikal terhadap serangan yang bertubi-tubi ini. Saya serahkan persoalan ini untuk rakan-rakan mencipta sendiri skema jawapan yang dirasakan sesuai.

Walaubagaimanapun, saya sendiri bukan ahli dalam menafsirkan hedonism daripada mana-mana aspek atau intelektual daripada aspek yang lain. Apa yang bakal diperkatakan dalam tajuk ini hanyalah sebuah pandang sisi saya selaku ahli intelektual seperti juga rakan-rakan yang mana kita berkongi minat dan tarikan yang tidak banyak beza. Saudara pembaca boleh sahaja bersetuju atau tidak bersetuju dengan idea penulisan ini kerana ianya tidak lebih dari sekadar pencerahan dan terbentang luas untuk dibahaskan. Dibahas juga secara intelektual hendaknya.

Suka untuk saya mencuri perhatian rakan-rakan terhadap salah satu misi yang diketengahkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar sendiri iaitu ‘ Membangun Integriti Pelajar Menerusi aktiviti dan inisiatif  Keagamaan, Kesukanan dan Kebudayaan’ atau mudah difahami sebagai pembangunan pelajar dalam konteks intelektual yang holistik, atau menyeluruh. Saya teringat ketika mana misi ini digagaskan, fokusnya adalah untuk menzahirkan kepada warga kampus suatu nilai yang dilihat tersangat kurang aplikasinya oleh kebanyakan generasi baru dan terkemudian di kampus UTP, iaitu integriti. Selaku pemimpin pelajar, saya dan perwakilan yang lainnya tekad merealisasikan hasrat ini sehingga nyata fenomena perubahan dalam kalangan warga kampus dan inilah yang dipertanggungjawabkan juga selaku Duta Mahasiswa (Students’ Ambassador).

Setelah sekian lama dan bertahun-tahun isu hedonism diperkatakan, timbul persoalan difikiran saya apa punca sebenar permasalahan sehingga ada pihak tampil mempertahan dan menentang? Mungkinkah ada silap dimana-mana yang kedua-dua pihak berperanan? Saya yakin negosiasi antara pihak-pihak yang prihatin berlaku saban tahun, dan resolusinya juga baik dan diterima.Maaf saya tidak berapa ingat satu persatu persefahaman antara pihak-pihak prihatin dalam beberapa rundingan meja bulat tahun-tahun sebelumnya. Sekurang-kurangnya, mujurlah hal ini sekaligus menempis tohmahan tidak berasas pihak tertentu berhubung usaha mensabotaj atau konfrontasi adalah salah sebaliknya pendekatan aman dan faham diutamakan melalui usaha toleransi, menjelaskan perkara yang tidak jelas, memahamkan apa yang tidak difahami. Malangnya usaha saban tahun itu selalunya gagal dan berakhir dengan kekesalan dan tidak puas hati.Kerana apa? Kerana transisi kepimpinan dan individu yang terlibat menyebabkan resolusi dan keputusan bersama gagal diperturunkan untuk perlaksanaan untuk program atau tahun berikutnya. Sikap egois yang meracuni sesetengah pihak tidak kurang menebalkan lagi tembok persefahaman. Akhirya kedua-dua pihak kembali bermula daripada zero seolah-olah tidak berbuat apa-apa resolusi sebelumnya. Walaubagaimanapun, saya menjangkakan rakan-rakan faham realiti yang berlaku dikampus UTP berdasarkan gambaran tadi yang merujuk kepada program-program hiburan, lagu dan artis. Ya, ianya benar-benar berlaku dan kembali berulang lagi seperti tahun-tahun sudah.

Kebimbangan yang cuba saya zahirkan ini bukan hanya daripada saya, tetapi kegelisahan yang sama juga dikongsi oleh para ilmuan dan pensyarah UTP. Mungkin juga kelemahan daripada pihak kita kerana tidak pernah mengambil kira persepsi ilmuan dan pensyarah dalam soal-soal intelektual dan juga hedonism. Satu kerugian yang amat besar jika hal ini kita tinggalkan. Hari ini, permasalahan ini bukan lagi masalah personal, saya adalah saya, kamu adalah kamu.Tetapi telah lama menjadi permasalahan bersama.Pertembungan intelektualism dan hedonism semakin serius dan bercelaru. Program-program intelektual kurang mendapat perhatian dan sokongan para pelajar walaupun pelbagai tarikan sudah diserap oleh pihak penganjur. Maka dimana usaha mereka dan setiap daripada kita untuk memastikan intektualism ini menyerap dalam tindakan dan sampai bila environmen ini akan berterusan? Disini pula timbul saranan bahawa para pelajar mesti menimbang tara antara baik buruk keduanya. Ironinya, mahasiswa turut ikut terserang oleh budaya hedonism yang pada hakikatnya tidak begitu mencerminkan diri mereka sebagai sebuah generasi penerus  yang mampu melakukan perubahan besar dalam masyarakat. Maraknya hiburan-hiburan yang tidak mengambil kira syariat yang sepatutnya menyebabkan ramai diantara kita hanyut dan larut dalam dunia keseronokan. Saya memandang serius perkara ini dan mengharapkan isu ini diambil berat dan dapat dipanjangkan supaya beberapa inisiatif baru dapat dikesan agar elemen intelek yang sebenar yang kita harapkan mampu disuburkan dalam kalangan pelajar. Rundingan dua hala yang sihat wajar diteruskan daripada semasa ke semasa. Seiring dengan hasrat Majlis Perwakilan Pelajar, kami sentiasa meraikan keterbukaan kesemua pihak bagi menjamin jati diri para pelajar dalam batasan yang disyariatkan.

Akhirnya, sebagai kelompok intelektual atau sekurang-kurang hidup dalam suasana intelektual, para pelajar seharusnya lebih produktif dan berkeupayaan mencipta idea-idea baru yang konstruktif  selain daripada kemestian untuk berfikir dan bertindak terhadap realiti permasalahan sosial yang meruncing, bukan lagi sebagai pencetus masalah sebaliknya penyelesai masalah. Apa signifikan yang yang kita boleh anjurkan sebagai agent of change terutama dalam hal-hal yang melibatkan masalah-masalah sosial yang tempang, budaya pop dan pengaruh hedonism. Kita leraikan ketakutan bahawa pelajar-pelajar kita ini begitu taksub dan larut dengan budaya lagu dan artis. Syukurlah jika kebanyakan daripada kita sedar akan realiti intelektual mahasiswa saat ini kian terancam, dan sudah menjadi tugas kita untuk membangkitkan semula roh intelek tersebut kearah yang lebih islami dan cemerlang syariat. Pupuk semula instrumen-instrumen pembinaan yang bertepatan dengan kehendak dan syariat (batasan syarak). Perlu juga untuk kita fikirkan secara bersama alternatif-alternatif  yang bersesuaian. Harapan akhirnya, perkara yang saya sampaikan ini sudah lama dibincangkan untuk direalisasikan namun tindakan kearah itu masih belum maksimum. Apa yang dituntut daripada teman-teman adalah perhatian untuk kita kembali menyemai benih intelektual. Selanjutnya dari mana harus kita mulai?

Wan Ibrahim Al-Kutani – Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar MPPUTP

 

Advertisements
 
Leave a comment

Posted by on June 14, 2012 in Nota Terbuka

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: