RSS

Monthly Archives: December 2012

UMNO dan Ulama syaitan bersungguh-sungguh mahukan PAS mengatakan UMNO itu kafir..

Jikalah amanat itu..

Image

YB Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Presiden PAS)

Image

Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz (Timb. ketua Pemuda PAS)

Jikalah amanat itu berbunyi, 

‘Barang siapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang kafir.’
Lalu kesannya, wujud suasana keliru dan saling tuduh menuduh sehingga kafir-mengkafir dalam masyarakat, maka adakah perlu amanat di atas ditarik balik demi mengelak pecah-belah?

Jika jawabannya ya, bagaimana jika dienggani dengan hujah bahawa amanat di atas adalah sama dengan maksud ayat al Quran dalam surah al Ma’idah:44?
Adakah kita akan kata, oleh kerana ianya memecah-belahkan umat Islam, maka ia tetap mesti ditarik balik!

Sudah pasti itu bukan jawaban balasnya. Setiap muslim mesti takut untuk mendesak ‘amanat’ yang membawa maksud ayat al Quran itu ditarik balik. Ia ‘bagai’ mencabar maksud al Quran.
Justeru apakah penyelesaian agar tuduh-menuduh yang memecah belahkan tidak berlaku? 

Ya, jawabannya hanya satu.

Beri peluang amanat atau ‘ayat’ itu dijelaskan, disyarahkan dan ditafsirkan. Hasil kefahaman yang bersuluh daripada tafsiran itulah, akan lenyaplah segala tuduh-menuduh yang mengelirukan, lalu terhasillah satu kefahaman yang satu terhadap amanat di atas. 

Yang berhukum dengan hukum Allah, maka selamatlah dia daripada amaran ‘amanat’ di atas secara benar. Yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka dia tak selamat dan mesti berusaha mengelak daripada bahaya itu. Maka semua akan selamat.

Penting diketahui, ayat atau amanat atau kata hikmat adalah kata-kata pendek yang cantik dan jelas. Jika timbul kekeliruan, jangan dibuang dan diperangi. Ia mesti dipohon penjelasan. Penjelasan daripada kata amanat, ayat, nas atau hikmat, hakikatnya akan menambahkan rasa hebat dan daya pukau yang dimilikinya. Kerana itu, pujangga hidup kekal namanya terkenal sepanjang zaman.

Begitulah ‘amanat tuan guru’ yang menimbulkan kehangatan. Ia sebuah amanat yang pendek yang dipetik daripada ceramah tuan guru yang panjang, lalu ditulis dan disebarkan. Ada yang faham dengan mudah, ada pula yang perlukan penjelasan.

Jangan pelik, seperti diterangkan di atas, bahawa setiap yang pendek, perlukan penjelasan sebagaimana terbukti wujudnya ribuan kitab tafsir dan syarah oleh para ulama kita sepanjang zaman di dalam menjelaskan maksud daripada kependekan nas ayat al Quran, al hadis, athar dan kata-kata hikmat pujangga Islam.

Maka memohon hak untuk menjelaskan maksud ‘amanat’ oleh tuan guru haji Abdul Hadi adalah benar dan hak di atas hak. 

Oleh kerana fitnah dan kekeliruan terhadap amanat ini begitu melata, lama dan sengaja dihidupkan, maka adalah logik, baik dan sempurna sekali jika penjelasan itu didengar oleh semua. Semua rakyat Malaysia.

Apakah saluran media hari ini yang paling meluas dan lebih luas berbanding tv milik kerajaan (jangan baca milik umno)? Tiada bukan?

Adakah ini syarat? Tidak! Ia hanya satu permintaan yang benar agar penjelasan dapat didengar dan difahami oleh semua.

Ah, jika anda berkeras mengatakan itu satu syarat yang menyusahkan dan bukan-bukan yang bermaksud mahu lari daripada kekalahan dan kesalahan, mari saya jelaskan dulu sebelum anda terus hanyut dalam dakwaan itu.

Tuan guru telah pun menjelaskan. Beratus kali sudah. Dan kami anak muridnya pun telah menjelaskan maksud tuan guru itu. Beribu kali sudah. Bahkan penjelasan itu terus diadakan hari ini dan esok juga. Tetapi masih ada yang tidak dengar atau enggan mendengar atau sengaja buat dengar tak dengar, faham tak faham.

Jadi, apa penyelesaian? Tarik balik??

Itu tidak profesional bukan? Dunia hari ini semua menuntut sikap profesional hatta dari seorang raja yang kebalnya tak lut oleh keris telanjang..

Justeru jika permintaan untuk menjelaskan maksud amanat itu dalam tv adalah satu syarat sekali pun, maka apa ruginya syarat itu?

Adakah semua kalimah ‘syarat’ itu mengandungi konotasi jahat? Nak masuk syurga pun bersyarat. Nak masuk PAS atau UMNO pun bersyarat. Jahat?

Apa ruginya menjelaskan amanat sendiri di hadapan jutaan rakyat berbanding di hadapan ribuan hadirin? 

Semua rakyat menunggu penjelasan terhadap amanat tersebut. Jika tak mahu dengar, rasanya terlalu mudah untuk tutup tv atau tukar saja ke saluran lain. Macam-macam ada dalam tv tu. Saya yakin, siaran langsung penjelasan amanat tu langsung tidak mengganggu sesiapa pun.

Dan,,

Pada saya, dengan penuh yakin, bukan hanya orang PAS, orang awam atau sesiapa pun, bahkan orang umno pun akan bahagia dengan penjelasan amanat oleh pemilik amanat tersebut. 

Kenapa?

Kerana saya yakin, orang umno tidak kafir dan tidak pun dikafirkan oleh amanat trrsebut. Penjelasan amanat nanti akan menambahkan kejelasan bahawa orang umno tidak kafir, bahkan muslim yang bersaudara. Setiap yang mengucapkan kalimah tayyibah atau syahadah adalah muslim yang bersaudara. Masing-masing gembira hidup berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran sebagaimana tuntutan agama.

Bukankah itu satu kegembiraan dan kebahagiaan bersama?

Cuma,,

Yang saya bimbang, walaupun saya berharap ia tidak berlaku. Hanya bimbang disebabkan semacam wujud tanda-tanda yang kelihatan balam-balam dari kejauhan.

Saya bimbang jika ada SEGOLONGAN yang akan kecewa jika penjelasan terhadap amanat itu berjaya merumuskan bahawa orang umno tidak kafir atau tidak dikafirkan oleh amanat tersebut.

Mereka akan kecewa kerana mereka bersungguh-sungguh mahukan PAS mengatakan UMNO kafir. Dengan itu mereka akan beroleh senjata yang tajam setajam-tajamnya oleh merodok perut PAS dan para pejuangnya, lalu merekalah pejuang Islam, raja, rakyat dan Melayu yang sebenarnya.
Jika ada golongan ini seperti yang saya bimbangkan, maka saya akan berdoa sepanjang masa..

Ya Allah, hancurkanlah musuh agamaMu dan musuh umatMu ini sehancur-hancurnya..

Nik Abduh Nik Abdul Aziz, 2012

Advertisements
 
Leave a comment

Posted by on December 31, 2012 in Nota Terbuka

 

PAKATAN RAKYAT, HARAPAN BARU MALAYSIA..UMNO/BN TERTOLAK

 

Image

Sesekali rasa terpanggil untuk melontarkan pandangan sambil termakan dengan cabaran daripada sesetengah pihak, sekurang-kurangnya amanat kepada agenda besar sebuah negara ini disampaikan kepada masyarakat, supaya rakyat mampu menilai dan menghayati wawasan sebuah perjuangan politik yang bercita-citakan Islam dan memartabatkan bangsa serta meruntuhkan blok-blok kezaliman.

Saya juga seorang rakyat biasa yang mengisi celah-celah kecil dalam masyarakat yang mengintai-intai dunia sebenar dan politik nilai yang lebih baik. Saya juga pernah melalui hari-hari sebagai penuntut institusi pengajian tinggi serta berpeluang mengisi platform pemerintahan pelajar di Universiti. Seharusnya, saya juga mesti banyak mempelajari sepak terajang dan jatuh bangun sesebuah organisasi terpenting pelajar di kampus ini, yang insyaAllah berbekalkan pengalaman yang sedikit itu, saya mencipta prinsip tersendiri dalam mendalami tassawwur (gambaran) perjuangan politik sebenar didunia realiti.

Politik kepartian dan kenegaraan yang sedang meniti dibibir masyarakat amnya ataupun oleh segelintir mahasiswa merupakan salah satu juzuk terpenting kepada pengertian politik. Kita boleh sahaja berbicara politik rumah tangga. Anda boleh sentiasa mengamalkan politik ditempat kerja. Saya juga boleh mengkehadapankan politik pelajar. Juga termasuk politik berorganisasi sehinggalah politik perniagaan. Ya, politik itu sesuatu yang luas dan jangan sesekali disempitkan kerana istilah ini tidak bersifat eksklusif kepada parti-parti politik sahaja, istilah dan pengisian politik ini berlaku sejak dahulu malah sudah sebati dalam kehidupan. Namun, harus difahami, politik bukanlah segala-galanya, segala-galanya bukan politik melainkan yang tertinggi iaitu Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna yang meletakkan politik pada sisi yang cukup besar dan penting kepada manusia. Islam hadir dalam rencah politik yang terlalu rosak dan mendengkam, kemudian Islam memperbaiki akhlak berpolitik. Islam tampil untuk memperbetul akhlak bernegara. Bukankah Rasulullah SAW diutus untuk mengajarkan akhlak yang mulia. Islam mencirikan akhlak yang dicanangkan oleh Allah SWT dalam perihal akidah, soal ibadah, adab berkeluarga, etika berekonomi, kod bersosial, aturcara memerintah dan sistem berhukum. Jadi, bahagian mana yang tidak diajar oleh Allah dan Rasulnya melalui agama mutakhir ini iaitu Islam, sedangkan hal-hal makan minum, tidur dan buang air juga diajar dalam Islam? Saya simpulkan dalam hal ini dengan perkaitan-perkaitan sedemikian justeru supaya kita memahami erti yang sama dan adil kepada politik. Atas asa ini juga, dengan mudah saya akan tangkis mana-mana fahaman yang ‘mengharamkan’ tajuk politik kenegaraan daripada dibincangkan oleh mana-mana pihak, termasuk kelompok mahasiswa yang cukup sinis terhadap politik. Saya punya tanggungjawab tersendiri untuk memperbetulkan keadaan yang telah sekian lama tertanam dibenak pemikiran mereka. Dalam memperbetulkan  diri sendiri dan orang lain, pendekatan lembut atau keras bukan akar kepada isi yang berbuah. Jika kelembutan dalam memberi komentar itu berhikmah, maka gunakanlah. Dan jika ‘kekerasan’ dan ketegasan itu juga memberi maksud hikmah atau sampai kepada hajat yang dimaksudkan, maka gunakanlah. Berlembutan tidak selalunya lembut, berkerasan tidak selalunya keras.

 Sebelum itu, suka untuk saya kemukakan beberapa realiti dan fenomena politik negara Malaysia, sesuai dengan tahap analisis dan pemerhatian saya.

  1. Untuk membentuk sebuah negara dan pemerintah, politik kepartian merupakan keperluan yang wajib. Tidak boleh tidak ada melainkan di Malaysia, struktur pemerintahan bergantung kepada istitusi politik. Tidak wujud seorang individu yang secara tiba-tiba bangkit dan dipilih oleh rakyat untuk memimpin melainkan mesti di atas platform sebuah parti.
  2. Pakatan Rakyat (PR) terbentuk hasil gabungan dan persefahaman dalam beberapa matlamat perjuangan oleh Parti Islam Semalaysia (PAS), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action Party (DAP). Mirip kepada Barisan Nasional yang merangkumi parti teras tiga bangsa utama, termasuk parti komponen di Sabah dan Sarawak, iaitu UMNO, MCA dan MIC.
  3. PAS dan UMNO adalah parti orang Melayu terbesar yang bersaing sejak sebelum kemerdekaan. PKR adalah parti yang meraikan semua kaum dengan prinsip tersendiri. DAP pula bukan hanya milik mutlak orang Cina tetapi keterbukaan parti ini melebihi daripada apa yang diamalkan oleh MIC atau MCA.
  4. PAS hari ini telah memiliki sayap penting yang ditumpangi oleh masyarakat bukan Islam melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang telah meraih hampir 50 000 ahli, selain Dewan Pemuda, Dewan Ulama dan Dewan Muslimat.
  5. Pakatan PAS-PKR-DAP bermatlamat meruntuhkan kezaliman yang satu. Walaupun berbeza daripada segi ideologi, mereka mampu duduk semeja untuk memastikan agenda-agenda yang serupa dilaksanakan.
  6. Barisan Nasional, walaupun memiliki parti komponen yang hampir sama, situasinya tetap berbeza daripada wawasan Pakatan Rakyat.
  7. Dalam BN, Islam yang dibawa UMNO terlalu samar dan sering dicarik-carik oleh pemimpin dan ahli mereka sendiri. MCA pula sejak dahulu hingga akhir zaman menentang Islam dan hukumnya secara jelas, melalui tindakan dan kenyataan-kenyataan serta pendirian mereka.
  8. Berbeza dengan PAS dan DAP. PAS secara konsisten meletakkan Islam sebagai teras parti, dan cukup istiqamah dengan cita-cita mengislahkan negara. DAP sebagai rakan komponen walaupun masih baru, dilihat semakin berjinak-jinak dengan PAS dan Islam, termasuk pendirian mereka terhadap hukum Hudud dan sistem Islam yang lain. DAP sekurang-kurangnya  menghormati Islam bukan sahaja kerana perlembagaan negara yang menyatakan sebegitu. Bahkan didalam mesyuarat DAP, doa-doa dan ucapan-ucapan Islamik diterima dengan baik. Pastinya fenomena ini tidak berlaku dalam MCA atau MIC sejak bersahabat dengan UMNO puluhan tahun lalu.
  9. Media arus perdana tidak memainkan peranan yang selayaknya. Mereka lebih selesa disusun atur oleh pemerintah. BN sejak dahulu bersungguh-sungguh menafikan hak pembangkang dalam media, bersungguh-sungguh memanipulasi media massa hingga diluar etika.

10. Pakatan Rakyat berhempas pulas menguasai media alternatif demi menyalurkan maklumat kepada rakyat. Hasilnya, media alternatif merupakan pemangkin kepada kemenangan PR di 5 buah negeri pada PRU12.

11. Tidak ada negara yang pemerintahnya tidak memanipulasi istitusi terpenting negara seperti sistem Kehakiman, Kepolisian dan Suruhanjaya Pilihanraya SPR. Kerajaan BN terbukti menggunakan sistem-sistem ini dengan cara yang tidak bermaruah.

12. Kerajaan negeri PR seperti Kelantan sekian lama dinafikan hak oleh kerajaan Pusat dalam beberapa aspek pembangunan, kekangan kewangan dan hak royalti.

13. UMNO adalah parti yang tercetus daripada saki-baki penjajah British. Pemimpin-pemimpin mereka rata-rata berpendidikan Barat yang telah lama ditanam dalam kepala mereka, yang secara tidak langsung menjaga kepentingan penjajah. Mana-mana penjajah akan meninggalkan anak benih mereka di tanah jajahan, dan di Malaysia benih tersebut berkembang biak dalam sebuah parti bernama UMNO.

14. Akta Keselamatan dalam negeri ISA dicipta oleh BN yang mirip kepada sistem yang dimiliki oleh Barat dan Yahudi untuk menjaga kepentingan tertentu. Lebih kritikal adalah akta ini ternyata bercanggah dengan Islam walaupun beberapa kali wajah ISA ini cuba di’mekap’ dengan istilah-istilah baru.

 

Seterusnya, kenapa kita meniupkan angin perubahan yang semakin meluru laju dengan menampilkan Pakatan Rakyat sebagai pemerintah baru demi sebuah keadilan, kebajikan dan kemakmuran negara?

 PERTAMA – Mari kita melihat kepada persoalan tertinggi yang berkait rapat dengan ideology politik, iaitu AKIDAH perjuangan. Di Dalam Pakatan Rakyat, PAS sebagai parti politik Islam memainkan peranan yang cukup penting dan tinggi dalam memastikan kerajaan Pakatan terus seimbang membangunkan agama, rakyat dan negara. Keberadaan PAS yang kukuh dalam PR menjadi asas yang kukuh supaya terlaksana cita-cita Islam dalam pentadbiran negara kelak tidak dapat dinafikan bahkan mesti diberi sokongan yang berterusan. Ya, kita akui wujudnya sedikit pergeseran pendapat berkenaan hukum Islam dan sebagainya dikalangan pemimpin DAP. Namun, kebanyakannya adalah disebabkan salahfaham dan tidak faham orang bukan Islam terhadap apa yang diperjuangkan oleh PAS. Salahfaham ini adalah perkara yang biasa kerana DAP itu bukan Islam, memadailah jika mereka tidak faham Islam dalam konteks tersebut. Oleh kerana itu, selama dalam PR, PAS telah berusaha meyakinkan DAP tentang prinsip PAS, dan PAS, DAP dan PKR masing-masing faham dan menghormati ideologi perjuangan masing-masing. PAS dengan tegas akan mempertahankan prinsip Islam yang dipegang selama ini. Dalam konteks ideologi ketiga-tiga mereka pula, walaupun berbeza, masing-masing menetapkan cita-cita yang sama untuk menjatuhkan kerajaan UMNO/BN atas dasar kezaliman. Hari ini DAP telah faham Islam dalam banyak aspek, dan disinilah kerjasama dalam Pakatan Rakyat akan terus berlangsung kerana mereka sudah mula berjinak dan memahami satu sama lain.InsyaAllah.

KEDUA – Sekiranya persoalan siapakah bakal mewakili kaum majoriti Melayu jika UMNO ditolak oleh rakyat? Kita akan katakan PAS dan PKR lah yang akan bekerjasama memartabatkan bangsa Melayu dalam pelbagai aspek. Dalam PAS, majority PAS adalah Melayu, begitu juga dalam PKR. Jadi kebimbangan orang Melayu tidak wajar ditimbulkan melainkan cukup sebagai permainan UMNO yang tidak bermaruah. Jika UMNO terus-menerus meniupkan isu berbaur perkauman, gabungan PAS dan PKR akan mendominasi suara-suara orang Melayu. Ini belum lagi termasuk orang-orang Melayu UMNO yang akan turut serta mengangkat PAS dan PKR sebagai wakil mereka. Maka, kebimbangan dalam soal ini, bukanlah sepertimana yang digembar-gemburkan oleh UMNO melalui ucapan-ucapan mereka. Jika mahu menjaga kepentingan orang Melayu, orang Melayu UMNO mesti sokong PAS dan PKR. Selesai masalah.InsyaAllah.

KETIGA – Ketelusan dan kejujuran pemimpin Pakatan Rakyat juga banyak bergantung kepada akhlak pemimpin parti teras dalam Pakatan. Pemimpin daripada parti PAS diakui bersih daripada unsur-unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa disebabkan ikatan wala’ dan janji setia ahli-ahli mereka terhadap perjuangan Islam. PKR dalam sejarahnya pula menyaksikan beberapa pemimpin mereka yang mencabuli amanah rakyat apabila melompat parti, namun telah diselesaikan dengan baik oleh PKR dengan membersihkan parti itu daripada ahli-ahli mereka yang tidak amanah. DAP juga tidak mempamerkan banyak masalah-masalah moral berkaitan ahli dan pentadbiran mereka. Jika perbandingan secara kasar dilakukan antara ketelusan dan kejujuran Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, kes-kes salahguna kuasa dan rasuah lebih nyata dilihat dalam BN. Sila rujuk beberapa kes terdahulu yang melibatkan pemimpin UMNO.UMNO sendiri mengakui parti itu meruncing dengan budaya politik wang dan lobi-melobi dikalangan ahli termasuk untuk memenangi projek-projek kerajaan.Jika ada kes yang berkait dengan Pakatan Rakyat, maka kemukakan. Walaupun isu rasuah ini boleh menimpa sesiapa, hakikat seorang manusia juga tidak boleh dinafikan. Cuma keseluruhannya, situasi sekarang membuktikan pakatan mereka iaitu UMNO/BN sudah parah dengan isu ini.

KEEMPAT – Selagi agama Islam menjadi keutamaan, UMNO bukanlah sebuah parti yang layak memimpin agama Islam. Bagaimana sebuah parti sekular dan menebal semangat kebangsaan itu mampu membawa agama Islam. Status pejuang Islam yang mereka sendiri laungkan tertolak disebabkan mereka tidak pernah ikhlas memartabatkan agama Islam, berdolak-dalih dalam banyak urusan. Perjuangan mereka hanya bersifat setempat dan penuh dengan semangat kebangsaan Melayu semata-mata. Mereka tidak jujur dalam isu-isu akidah dan hukum-hakam Islam. Para Ustaz dan ‘ulama’ yang bersama-sama mereka hanya diperalatkan dan sebagai pelengkap syarat supaya UMNO dilihat islamik semata-mata mendapatkan sokongan orang Melayu Islam. Buktinya kita dapat perhatikan dalam kehidupan pemimpin-pemimpin mereka ini asas Islamnya entah ke mana? Lihatlah isteri-isteri dan anak-anak mereka. Seorang pemimpin yang baik yang cintakan Islam, harus memulakannya dengan keluarga sendiri sebelum tampil memimpin masyarakat. Pakatan Rakyat menerusi PAS terutamanya, bersiap sedia untuk mengambil alih kuasa demi mengangkat Islam dan isinya dalam pemerintahan negara. Banding bezakan gaya hidup pemimpin mereka dengan pemimpin daripada PAS dan PR. Anda akan dapati perbezaannya.

KELIMA – Berkaitan dasar dan pendekatan perjuangan, khususnya antara UMNO dan PAS begitu berbeza. Dalam soal ini, Pakatan Rakyat memiliki PAS yang mahukan Islam manakala BN memiliki UMNO yang tidak serius malah menentang Islam. UMNO tidak akan sekali-kali melaksanakan pengisian sebagai sebuah negara Islam terutamanya dalam aspek undang-undang kerana alasan-alasan purba yang tidak logik, sehingga meruntuhkan akidah pemimpin mereka. Rujuk teks-teks ucapan serta pendirian pemimpin-pemimpin mereka berkenaan hukum hakam Islam.

KEENAM – UMNO dan BN dalam setiap pendekatannya terhadap masyarakat seringkali memisahkan urusan agama dan politik. Mereka seboleh-bolehnya mahu urusan politik tidak dicampuri hal-hal agama kerana mahu menjaga kepentingan mereka. Bagaimana perbincangan politik tidak dibolehkan dalam masjid-masjid dan surau-surau sebagai contoh? Hal ini kerana apabila Islam mencampuri politik, terlalu banyak perkara-perkara dan kegiatan sumbang dan jahat mereka yang akan terdedah menyebabkan kepentingan mereka akan tergugat. Islam akan menerangkan akhlak tentang politik dan bagaimana menguruskan negara, sedangkan pada masa yang sama UMNO/BN sedang melakukan kegiatan yang bertentangan dengan tuntutan agama. Ketika ini jugalah posisi PAS menjadi penting dalam Pakatan Rakyat yang akan membawa suara Islam ke dalam Parlimen, menggubal peruntukan undang-undang yang mesra Islam, serta mendekatkan masyarakat kepada Islam.Dibawah Pakatan Rakyat, masjid-masjid dan surau dihidupkan dengan majlis imu yang sebelum ini amat jarang berlaku semasa BN memerintah. Makanya, dakwah Islam kepada parti-parti komponen berlaku dengan baik, dan rakyat dididik dengan penghayatan yang betul.

KETUJUH – Pencapaian yang terbukti lebih baik di negeri-negeri PR. Kebolehmampuan PR mentadbir negara terbukti apabila 4 negeri (dulu 5 termasuk Perak) menjadi negeri yang mengungguli kecemerlangan audit negeri yang disahkan oleh Jabatan Audit Negara. Bagaimana ini mampu dicapai dalam tempoh masa kurang 5 tahun memerintah? Jawapannya adalah kerana komitmen kepada amanah rakyat, telus dan adil dalam pemerintahan

KELAPAN – Janji awal PR dalam tempoh 100 hari sekiranya memerintah Malaysia membuahkan hasil dan dapat dilihat melalui negeri-negeri yang ditadbir. Perlaksanaan janji tersebut terlaksana dan sedang dilunaskan oleh PR walaupun dengan kekangan kewangan dan serangan UMNO/BN

KESEMBILAN – Kegagalan UMNO/BN yang gagal memahami Islam sepenuhnya telah menyuburkan agenda-agenda maksiat, judi dan arak dalam negara yang merosakkan sistem negara, merosakkan sistem sosial. Siapa yang bertanggungjawab melindungi agenda-agenda ini atas nama pendapatan negara? Dihalalkan selagi menyumbang dana besar kepada negara? Kegagalan ini terbukti sekiranya kita betul-betul cakna dengan perkembangan yang ada diseluruh negara. Dalam kesempatan ini, Pakatan Rakyat menjadi alternatif terbaik untuk memulihkan keadaan kerana komitmennya yang serius dengan Islam, komitmen yang bersungguh-sungguh untuk kebajikan dan pembangunan rakyat. Kita ada peluang untuk memperbaiki masyarakat dan sistem-sistem yang ada dengan menawarkan kerajaan baru yang berprinsip.

KESEPULUH – Kerjasama PAS dan PKR telah menambahkan kerusi Parlimen untuk orang Melayu/Islam. Kerana dalam PAS, mereka adalah calon Islam yang mahukan Islam, dan dalam PKR mereka juga Melayu Islam, walaupun mungkin dengan latar-belakang yang agak berbeza antara orang PAS dan bukan PAS. Pokoknya, kerusi Melayu Islam bertambah. Dan jika orang Melayu Islam daripada UMNO mengalihkan sokongan mereka kepada PAS dan PKR, maka isu perkauman Melayu dan Islam mampu diselesaikan. Apa yang pelik dan bercelaru dalam UMNO ialah apabila mereka menyatakan sekiranya Melayu tidak undi UMNO, maka Melayu akan tersingkir, sedangkan selain UMNO, PAS dan PKR bersedia menerima sokongan dan dokongan Melayu yang dulunya UMNO bernaung dibawah perwakilan Pakatan Rakyat.

KESEBELAS – Pakatan Rakyat wajib menggantikan UMNO/BN demi menyelamatkan harta dan khazanah negara daripada terus hilang dan dirampas. Hal ini boleh dibuktikan dengan melihat statistik hutang negara yang amat parah, disamping ketirisan wang dalam projek-projek mega yang diraih oleh kroni-kroni mereka. Laporan Audit negara juga telah membuktikan Pakatan Rakyat lebih bijaksana dan berhemat dalam urusan perbelanjaan kewangan negeri.

Perkara terakhir yang ingin saya sebutkan adalah tanda Tanya dalam beberapa isu yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Ambillah sedikit masa untuk memahami isu-isu ini, walaupun berat dan sukar difahami, sebagai individu terpelajar, jangan dijadikan alasan untuk tidak mengambil peduli hal-hal sebesar ini.

  1. Apa khabar isu FELDA?
  2. Apa khabar isu ISA?
  3. Apa khabar isu BERSIH?
  4. Apa khabar isu Royalti Kelantan dan negeri-negeri lain?
  5. Apa khabar isu SPR?
  6. Apa khabar isu kad pengenalan kepada warga asing?
  7. Apa khabar isu pelantar minyak Pahang?
  8. Apa khabar isu pembunuhan Altantuya?
  9. Apa khabar isu Scorpene?

10. Apa khabar isu Rosmah puaka?

11. Apa khabar isu Hishamudin campur tangan polis?

12. Apa khabar isu pembunuhan Memali 1987?

13. Apa khabar isu liwat DSAI?

14. Apa khabar isu Chua Soi Lek?

15. Apa khabar isu Ketua Menteri Sarawak?

16. Apa khabar isu kroni-kroni BN?

17. Apa khabar isu murtad?

18. Apa khabar isu Ulama UMNO?

19. Apa khabar isu Mufti Politik UMNO?

20. Apa khabar dan apa khabar??

Wan Ibrahim al-Kutani

 
Leave a comment

Posted by on December 20, 2012 in Nota Terbuka

 

Ukhwah yang sentiasa hidup selagi hati-hati mereka hidup..

Bismillahirrahmanirrahim.

Kehadapan sahabat-sahabat ana yang dikasihi, dikagumi dan disayangi sentiasa. Ana sentiasa mendoakan semoga Allah SWT kurniakan segala bentuk keluasan serta kebaikan dan dipermudahkan segala jua urusan yang antum lakukan Insyaallah. Cukuplah ana lampirkan beberapa kerat perkataan sebagai mewakili diri ana walaupun kurang pandai menulis, mungkin sebagai amanat atau pesanan yang ikhlas kepada setiap daripada antum. Ana gagahi juga dengan sedikit kelapangan yang sengaja ana luangkan supaya tulisan yang berupa luahan ini disiapkan walaupun barangkali tidak penting untuk antum tetapi cukup penting sebagai penenang kepada diri ana sebelum meninggalkan kampus UTP serta perpisahan yang akan menjarakkan fizikal kita walaupun hatinya ana yakin akan tetap terpelihara kebersamaannya. Sejujurnya ana tak mampu untuk menulis panjang lebar kerana kalau bukan kerana perlunya untuk ana sampaikan sesuatu kepada antum, ana tidak akan tulis apa-apa sepanjang ini kalau bukan kerana sahabat-sahabat, hanya sekadar mengharapkan Allah meringankan segala maksud yang ana ingin sampaikan menerusi tulisan serba ringkas dan biasa ini. Amiin.

Hikmah yang besar dan bermakna. Syukran kepada sahabat-sahabat ana, ana khususkan kepada Muhammad Affan, Syah Hafiz, Muhd Akmal, Naziri Fitri dan kawan-kawan yang lain. Perlu buat kali yang pertama dan mungkin yang terakhir sebelum ana keluar daripada kampus (walaupun masih punya tugasan MPP), untuk ana kongsikan betapa bertuah dan gembiranya ana dikurniakan kesempatan berkenalan dengan antum walaupun dalam tempoh yang agak singkat, sejak perkenalan sepanjang MAS pada Jun 2010 sehingga hari ini. Syukurlah kenangan berMAS bersama antum ana rasakan paling manis dan sangat bermakna walaupun tidak sampai seminggu, berbanding beberapa MAS yang telah ana kendalikan. Ana telah jatuh cinta dengan antum sejak hari kedua MAS. Mulanya ana menolak ajakan sebagai fasi MAS dan pernah ana beritahu antum ana bosan dan penat dengan MAS. Penat dan malas dengan kerenah-kerenah yang banyak, langsung tawar hati untuk beri komitmen kepada program. Dalam malas dan penat itupun, sudah masuk 6 kali bersama MAS, 5 kali sebagai fasi disiplin dan kadang-kadang tak percaya boleh jadi sampai sebanyak itu. Banyak ana belajar daripada MAS dan banyak jugalah kesilapan yang ana lakukan. Tapi Allah terlebih dahulu mengaturnya menjadi satu permulaan persahabatan kita yang kasih-mengasihi kerana Allah, InsyaAllah. Banyak kenangan-kenangan sepanjang men’disiplin’kan antum, berprogram bersama semasa orentasi telah menjalinkan satu keterikatan antara ana dan sahabat-sahabat. Banyak juga kelemahan dan kesilapan dalam tempoh tersebut dan ana mohon maaf atas semua tu. Pada ana, ianya minggu orentasi yang biasa tetapi luar biasa untuk ana kenang dan sentiasa ingat setiap perkara yang berlaku. Alhamdulillah Allah pertemukan kita waktu itu walaupun kita tidak pernah merancang apa-apa, dijadikan hikmah perkenalan ana dan antum disebabkan antum tidak ke oversea, sebaliknya datang ke UTP. Hadirnya antum dalam hidup ana cukup bermakna sepanjang berada di UTP sehingga hari ini. Ana hargai cita-cita sahabat-sahabat untuk ke luar negara pada waktu tu malah yakin antum cukup hebat, insyaAllah walaupun tidak kesampaian antum tetap mampu melakukan yang terbaik walaupun di UTP dan yakinlah Allah telah nyatakan keberadaan antum disini dan memberikan yang terbaik sesuai dengan kemampuan masing-masing, lebih-lebih lagi Allah tidak pernah mensia-siakan pengorbanan sahabat-sahabat. Kalau antum pergi ke luar negara, pertemuan kita tidak akan berlaku dan kita tidak akan pernah kenal.

Perancangan bermula. Alhamdulillah MAS selesai dan bila tamat, maka berlalulah minggu-minggu akademik yang padat buat antum maklumlah daftar lewat daripada orang lain, terpaksa berkejar-kejar kelas dan silibus. Apa-apa yang berlaku semasa MAS biasanya tak berpanjangan sebab itu ana turut bimbang kalau-kalau keakraban semasa MAS tidak berpanjangan. Ana berusaha untuk pastikan keakraban yang ada tidak terhenti setakat MAS, ianya mesti dipanjangkan sampai bila-bila. Perancangan demi perancangan ana usahakan. Ana mohon maaf dari awal sekiranya sahabat-sahabat kurang selesa bila ana katakan hampir semuanya dirancang, walaupun ana pernah beritahu yang semuanya kebetulan dan diluar pengetahuan ana. Ana terpaksa mengaku, sememangnya ana sengaja merancang beberapa perkara berkaitan antum masa tu. Bunyinya macam ana pentingkan diri kan? InsyaAllah bukan itu yang ana maksudkan semata-mata. Masih ingat group UNITED? Aktiviti-aktiviti sepanjang United? Antum mesti dah tak ingat banyak perkara kan, tapi sebagai orang yang merancang ana ingat semua tu. Selesai tanggungjawab bersama United, ianya kemudian beralih pengenalan Smart Group. Ya, Smart Group ataupun Usrah yang ana jadi naqibnya, dan antum ahlinya. Itupun kalau sahabat-sahabat masih ingat Smart Group kita yang berlangsung lebih setengah tahun. Sahabat-shaabt mungkin tertanya-tanya kenapa mesti ana juga yang menjadi naqib antum sedangkan ana fasi disiplin Mas, ana juga fasi United dan satu dua perkara lagi. Semua tu tidak berlaku secara kebetulan melainkan ana susun satu persatu. Mujurlah ana bertindak lebih bijak dan awal daripada orang lain. Sebelum mereka jadi naqib antum, biar ana yang jadi naqib. Boleh jumpa antum selalu kan. Paling kurang seminggu sekali ana akan jumpa antum. Itulah Smart Group yang paling seronok yang terkesan yang ana pernah pegang walaupun masa tu masih belajar dan sedang mempertingkatkan diri. Mengemudi usrah antum jadi cabaran kepada ana supaya ana benar-benar pegang antum, usrah bersama antum ada kelainan yang menyebabkan ana istiqamah. Sahabat-sahabat juga maklum kelemahan dan kekurangan ana sepanjang satu sem lebih kita berusrah sebelum internship. Alhamdulillah kekurangan tersebut antum telah tampung dengan penuh komitmen dan minat antum untuk bersama-sama Smart Group sehinggalah ana berinternship dan selepas internship. Smart Group kita antara yang terbaik dan konsisten, antum dipuji oleh sahabat-sahabat ana dalam RM kerana istiqamah tidak kurang hebat berbanding usrah-usrah Smart Group Mei10 yang lain. Kagum juga dengan antum ni dalam diam. Terus terang ana agak agresif berkaitan Smart Group bilamana rakan-rakan dari jemaah lain mula menyentuh antum. Pendirian ana, antum bukan untuk mereka walaupun pada dasar ianya baik dan semua buat kerja Islam. Ada sebab kenapa kami, ana, bertindak begitu dengan rakan-rakan jemaah lain. Mudahnya, dihadapan antum ada yang lebih baik dan lebih layak untuk antum sertai. Kesempatan berSmart Group bersama sahabat-sahabat ana manfaatkan sebaiknya sekadar kemampuan ana. Banyak yang dirancang dan menjadi, ada juga yang tak berapa menjadi. Peluang yang ada ana gunakan sebaik mungkin untuk mengenali antum secara rapat, peribadi dan sifat antum. Sekurang-kurangnya ana ada idea apa yang antum suka dan tidak suka. Bagaimana antum berfikir dan bertindak. Ana kira mungkin selesai sudah peringkat pertama usrah ketika itu, Takruf. Selesai takruf barulah Tafahum dan Takaful menyusul. Ana sedikit gelisah bila terpaksa ke internship selepas hampir 5 bulan perkenalan dan berusrah. Ana tempoh ini aka kira cukup banyak kenangan berharga yang ana dapat. Bermusafir dan berehlah bersama antum. Bulan puasa ifthar satu talam, ifthar disurau-surau sehinggalah sahur dibilik-bilik antum, mengejutkan subuh dibilik-bilik antum, termasuk menyibukkan diri ana dalam urusan akademik antum. Satu kepuasan yang ana dapat bila ana lakukan perkara-perkara yang ana suka dan menyenangkan, menyebabkan ana ringan dan senang untuk buat itu dan ini bersama antum. Jadi semasa intership keadaan jadi lain walaupun tidak banyak beza. Ana lapangkan dada sepanjang 8 bulan hinggalah selesai kembali ke kampus. Kemudian bermula semester baru, ana ditaklifkan sebagai APM Convofair. Convofair kali ke-2 ana. Ana fikir sesuatu boleh dirancang melalui convofair ni alang-alang menjadi orang kedua tertinggi dalam convo, takkan ana nak lepaskan kesempatan yang baik ni. Convofair masa itu ana jadikan kesempatan untuk hubungkan balik ukhwah yang dibina setahun lalu, maka bermulalah strategi melibatkan sahabat-sahabat, strategi untuk ana bersama dengan antum dan peluang untuk antum belajar sebanyak mungkin pengalaman bersama-sama convofair. Bermula ajakan ana supaya antum menyertai convofair walaupun dalam keadaan yang agak memaksa antum sebenarnya, kemudian ana yang interview antum dan ana juga yang mempertahan dan memilih antum supaya berada dalam convofair, dalam department yang sama. Salah guna kuasa betul kanJ. Sahabat-sahabat tak perlu hairan kenapa ana selaku APM, ana juga supervisor department GNC malah ana juga yang bersama-sama antum menggerakkan aktiviti-aktiviti GNC. Ana nak kongsikan kepada sahabat-sahabat inilah masa-masa emas ana bersama antum. Ana simpan kemas memori-memori sepanjang convofair lepas. Ana anggap ana masih naqib antum selepas internship. Masa-masa seorang naqib bersama anak-anak buahnya bersama-sama dalam satu event bila naqibnya sebagai orang atas dan anak-anak buahnya sebagai penggerak event. Itulah salah satu praktikaliti usrah. Pengisian-pengisian usrah yang dibawa sebelum ini kita terjemahkan dalam bentuk gerak kerja walaupun ana yakin sahabat-sahabat buntu tidak jelas matlamat teraba-raba dakwah apa yang nak dibuat dalam convofair. Mujurlah susun atur yang ana sendiri rancangkan berhasil. Sekali lagi ianya berhasil!. Ketika inilah ana sempat perhatikan sahabat-sahabat dengan lebih dekat selepas pulang internship maklumlah berjarak selama berbulan-bulan, hampir setiap masa kita sama-sama bantu jalankan event brainstorm idea, gantung banner poster, pancing ikan makan-makan. Ana ingat satu persatu. Seronok masa tu bila cita-cita berevent bersama antum tercapai. Ketika itu jugalah ana perhatikan bagaimana cara antum bekerja berhempas pulas, menasihatkan apa-apa yang kurang betul dan pastinya antum sedang belajar sesuatu yang berguna waktu tu. Berdampingan dengan sahabat-sahabat semasa kerja-kerja event buatkan ana tersenyum puas. Buat kerja event sampai lewat malam awal pagi malah tertidur pula dibilik antum. Alhamdulillah ana rasai nikmat kebersamaan dengan antum. Convofair yang paling terbaik ana pernah buat sebab antum jugalah yang bersama-sama ana.

Dua mutiara. Alhamdulillah wa syukurillah. Berkali-kali ana ucapkan kalimah memuji Allah Taala kerana walaupun beribu-ribu kali kita ungkapkan dalam ucapan atau doa kita, kita tidak akan mampu untuk membayangkan perasaan sebenar betapa syukurnya kita kepada Allah SWT atas nikmat dan segala kemurahan yang dikurniakan kepada setiap hambanya apatah lagi untuk membayarnya semula melainkan sebagai ganti kita mesti hidup untuk Allah dan agamanya. Rasulullah SAW sendiri tidak pernah berhenti mengharapkan redha Tuhannya sedangkan baginda adalah insan yang maksum dan terpilih kemudian ditarbiyah secara terus oleh Allah dan para Malaikat. Sesekali bukan menonjolkan Nabi ini seorang yang lemah dan sentiasa berharap dan meminta-minta, sebaliknya segala tindak tanduk perbuatannya untuk mengajar dan memberi teladan yang baik kepada umatnya. Allahurabbi hebat insan bernama Rasulullah ini. Ana cuma sekadar mengambil iktibar dan suntikan daripada peribadi dan akhlak Rasulullah SAW, teruskan bersyukur kepada Allah kerana kita tidak akan pernah mampu untuk membayar hutang-piutang kita dengan Allah. Suka untuk ana kongsikan beberapa pengalaman bererti yang telah ana lalui, sejak sebelum universiti hinggalah selepas 5 tahun bersama-sama di UTP dan insyaAllah mengharapkan kelulusan ijazah yang cemerlang juga dalam 2 perkara. Akademik dan dakwah Islam. Dan semoga ana memperolehi keduanya. Sahabat ana yang cintai kerana Allah dan dicintai Allah. Nikmat yang berharga adalah bilamana kita mempunyai sahabat yang baik dan sahabatnya itu pula bersedia untuk dididik dengan kebaikan dan erti hidup. Orang kata, ambillah masa untuk memberitahu mereka yang disayangi bahawa dia adalah yang terbaik. Beberapa minit untuk mendapatkan sahabat yang baik. Hanya beberapa jam dan hari untuk memiliki dan menyayangi mereka tapi sepanjang hidup untuk melupakan. Alhamdulillah ana ambil peluang yang terakhir ini untuk berkata antum adalah terbaik dan paling disayangi. Antum ana kasihi melebihi yang lain. Ana telah pun memiliki dan menghargai antum untuk beberapa ketika sejak hari pertama kita kenal sehinggalah hari ini. Izinkan ana untuk katakan bahawa antumlah salah satu daripada dua mutiara tersebut. Mutiara yang dulunya sedikit pudar kemudian kita sama menggilapnya hingga berkilauan. Syukurlah dan biarlah mutiara itu terus bersinar dan turut menyinari orang lain dan sebarkanlah kebaikan yang antum miliki. Sepeninggalan ana semasa berinternship, mutiara yang ana maksudkan ini tidak pernah sunyi daripada ingatan ana. Demi Allah, tidak ada satu hari pun sepanjang hari-hari berpraktikal yang ana tidak pernah memikirkan antum dan keadaan sahabat-sahabat dikampus. Ingatan kepada antum dimana-mana jadi tak hairanlah jika ramai sahabat-sahabat dalam batch antum yang bantu ana sedikit sebanyak mengikuti perkembangan antum dikampus. Lapan bulan tanpa antum ana harungi dengan biasa walaupun dengan sedikit perasaan bimbang. Bimbang kalau-kalau sahabat-sahabat tidak komited dengan usrah, risau jika tersalah memilih teman. Alhamdulillah ana boleh harapkan sahabat antum yang lain dan sesungguhnya mereka sangat banyak membantu. Namun, akhirnya ana juga perlukan masa untuk membiasakan diri melupakan antum kembali seperti biasa dan amat yakin masa yang perlukan itu cukup lama. Semoga hadirnya ana dikalangan antum membawa keceriaan atau mungkin mengubah hidup sahabat-sahabat kepada yang lebih baik begitu juga hadirnya sahabat-sahabat telah menghiasi kehidupan ana. Ana tidak akan mendapat apa-apa kalau tidak memberi tapi ana dapat lebih bila ana memberi. Ana cukup gembira bila nikmat dan kebaikan yang ana kecapi turut dikongsi kepada antum. Cukup panjang jika nak disenaraikan. Tidak pernah berasa kesal bila ana kehilangan sesuatu asalkan ianya untuk sahabat-sahabat, antum dan yang lain-lain. Mungkin ana belum cukup mahir menilai dan menghargai sahabat-sahabat ana malah terlampau banyak kekurangan yang masih tak tertampung. Meluangkan masa-masa yang ada yang ianya sengaja diatur hanya untuk bersama-sama antum sudah amat baik bagi ana.

Mutiara kedua dan yang lebih berharga ialah perkenalan ana kepada Jemaah Islam yang melaksanakan tanggungjawab dakwah kifayah dibumi UTP. Nikmat yang biasanya disebut nikmat terbesar selepas nikmat Islam dan Iman, inilah yang dinamakan nikmat bersama-sama kelompok Islam yang ingin melihat Islam terus terjaga dikampus. Pendedahan ana mulanya kosong berkaitan jemaah, tidak disekolah atau mana-mana melainkan setelah ana bersama Smart Group, usrah demi usrah di kampus, kampus yang terkuat dan terhebat. Rugilah ana jika ditakdirkan ana tidak terpilih berada bersama-sama orang-orang yang memperjuangkan Islam yang menjadikan kampus sebagai medan latihan terbaik sebelum keluar ke medan sebenar. Oleh kerana ihsan jemaah jugalah ana dibangunkan sejak tahun satu, dibentuk satu demi satu dan dididik dengan mehnah dan penat lelah melakukan kerja-kerja islami. Kadang-kadang disebabkan taklifan dan tanggungjawab yang dibahukan kepada ana, terasa akademik dipinggirkan. Hendak mengimbangi kerja-kerja islam dan pembelajaran bukan perkara mudah. Namun ana belajar banyak perkara dengan jatuh bangun, gagal dan berjaya sebab nilai sebuah pengalaman itulah yang paling mahal. Tanpa bersama jemaah dan ihsan jemaah, ana kurang pasti bagaimana keadaan ana sekarang. Adakah masih sama dan berjaya seperti sekarang? Boleh jadi ana hanya seperti pelajar-pelajar biasa yang hidup dan belajarnya hanya biasa-biasa, tiada langsung pengalaman luar biasa. Syukur, pelaburan masa, wang dan tenaga sepanjang menggerakkan jemaah insyaAllah terlalu berbaloi kerana mahar perjuangan Islam bukan sedikit, terlalu mahal dan tak ternilai. Hidup dalam jemaah dikukuhkan dengan kekuatan sahabat-sahabat dalam batch ana serta rakan-rakan daripada batch lain-lain. Lima tahun dikampus yang digunakan sebaik mungkin untuk dapatkan pengalaman berbeza melebihi pelajar-pelajar lain. Siapa sangka, ana seorang yang anti-MPP sejak sekolah hari ini telahpun menjadi Presiden kepada MPP tu sendiri. Dalam ramai-ramai sahabat-sahabat ana yang hebat dan pelajar-pelajar lain, ana yang terpilih untuk menggalas amanah MPP. Jawatan ini suatu amanah yang kita tidak boleh meminta-minta melainkan ada kemaslahatan lain yang mendesak. Jawatan ini juga amanah yang tidak boleh ditolak apabila ditaklifkan oleh syura dengan kepercayaan yang cukup tinggi diharapkan dakwah-dakwah Islam berlaku menerusi badan MPP. Ketentuan dan susun atur Allah bukan urusan kita untuk menerima atau menolakknya. Allahmdulillah, mula-mulanya berat dengan amanah ini akhirnya terasa ringan dan mudah. Mungkin itulah pengalaman dua tahun berada dalam MPP sebelum ini membantu ana melancarkan gerak kerja MPP dan dakwah sekaligus. Seseorang yang tidak merasai tidak akan tahu, samada dia benar-benar mampu melakukannya atau tidak. Ana ambil juga amanah ini dengan harapan cita-cita jemaah terlaksana walaupun tidak sempurna sepenuhnya. Kesempatan berada didalam kepimpinan MPP ana gunakan untuk lakukan yang terbaik. Kerana inilah kesempatan yang tidak dirasai oleh sahabat-sahabat ana yang lain, tetapi ana merasainya. Sesuai dengan kehendak jemaah dan dakwah Islam, alhamdulillah ana berpuas hati dalam diri kerana ana sudah melakukan hampir semua perkara yang ana pernah angan-angan untuk lakukan, perubahan dan imej yang baik kepada MPP. Hasrat ana supaya pencapaian MPP yang baik ini walaupun masih kurang sempurna dapat diteruskan oleh generasi-generasi pencinta Islam yang akan tampil selepas daripada ini. MPP bukanlah kemuncak kepada apa-apa pun, bukankan agenda atau perkara yang besar mana pun. Jawatan didalamnya bukanlan sesuatu yang boleh dibanggakan. Terasa sedih dan sayang pula hendak meninggalkan sahabat-sahabat ana yang lain dalam MPP.

Ana merasai dua persahabatan. Persahabatan bersama-sama kawan dalam satu jemaah dan persahabatan yang biasa dilalui semua orang. Masing-masing ada ragam tersendiri dan meninggalkan kesan yang lain juga. Keduanya ada mula dan akhir. Ana akan berjauhan dengan rakan-rakan jemaah, sahabat-sahabat dalam MPP, dan event-event dan termasuklah dengan antum. Ana tak boleh mengelak walaupun tidak suka sebab berjauhan itu mesti dirasai moga-moga kita lebih menghargai sahabat kita. Maksud ana berjauhan itu bukanlah bererti langsung tidak berjumpa tapi perpisahan ini pasti membuatkan ana berasa sangat kekok dan tak keruan bila bertemu semula. Ana dah mula belajar dan rasa perasaan macam ni selepas balik internship. Ya Allah, berasa kekok sangat dengan antum sampailah ana jumpa balik penghubungnya. Sahabat-sahabat, ana bukanlah sangat kuat untuk berdepan dengan ‘perpisahan’ ni lebih-lebih lagi dengan antum dan rakan-rakan yang lain. Sebab individu-individu yang akan ana tinggalkan ini bukanlah orang yang biasa, tapi adalah mereka yang sangat hebat dan beri kesan yang mendalam, antum insan istimewa. Syukurlah Allah meminjamkan kepada ana insan-insan yang luar biasa sebagai teman sementara berusrah berkeluarga seketika.

Akmal dan Affan. Bagaimana sebenarnya keadaan dan perasaan antum sekarang, perasaan antum sebelum dan selepas program? Baikkah ataupun sebaliknya? Ana sengaja bertanya antum suatu perasaan yang ana sendiri sudah tahu dan telah merasai pengalaman dan perkara yang sama 4 tahun lalu. Ana menganggap antum juga merasai perkara yang sama walaupun belum cukup menghayati dan masih terpinga-pinga dengan tanggungjawab dan amanah yang dibahukan kepada antum sekarang. Yakinlah sahabat-sahabat, disamping ianya suatu nikmat yang dikurniakan oleh Allah, ianya juga sebenarnya suatu tanggungjawab dan amanah untuk kita memperbaiki diri kita sendiri, kemudian orang lain dan seterusnya masyarakat disekitarnya. Nikmat yang diperoleh tersebut tidak patut dibiarkan tanpa perlu dikongsikan kepada orang lain dalam bentuk gerak kerja dan sumbangan kita. Nikmat tersebut antum sedang nikmati bersama rakan-rakan yang lain. Maafkan ana juga. Ana agak kepenatan memikirkan antum berempat hampir setiap masa kecuali akhir-akhir semester ini, semata-mata nak pastikan kesemua antum untuk dapatkan mutiara yang sering dimaksudkan dan alhamdulillah berkat kesabaran walaupun dengan sedikit kepenatan dan kadang-kadang kecewa, akhirnya sebahagiannya telah terbayar apabila antum meraih nikmat berjemaah. Alhamdulillah. Antum mesti yakin dan percaya antumlah manusia terpilih oleh Allah dan selanyaknya untuk terus memajukan diri bersama-sama wadah Islam kampus. Dalam beribu-ribu yang lain, antum salah seorang yang memilih dan terpilih untuk secara langsung bekerja untuk menjaga biah solehah dan Islam dikampus. Sesungguhnya beruntunglah orang yang bersama-sama golongan yang sedikit walaupun jalan yang mereka pilih itu berduri dan memerlukan banyak pengorbanan. Antum faham maksud ana. Antum berdua sebelum dan selepas progam memang berbeza. Itu apa yang ana rasa dan perhatikan. Perbezaan dan perubahan yang sememangnya ana sudah agak bermula saat antum berjanji setia untuk bersama-sama barisan ini. Semestinya ianya adalah perubahan-perubahan yang menjadikan antum insan yang lebih baik dan bermanfaat kepada orang lain. Kerana itu juga, ana buat persediaan untuk menghadapi perubahan-perubahan yang mungkin terjadi, cumanya ana tidak cukup bersedia. Bagi ana tidak ada pencapaian yang lebih menggembirakan seorang naqib melainkan apabila anak usrahnya mendapatkan mutiara berharga sama seperti yang dirasainya. Iaitu cita-cita seorang naqib untuk pastikan anak buah bimbingannya merasai nikmat yang sama yang telah naqib mereka lalui. Senior-senior ana dahulu telah berusaha memberikannya kepada ana, dan sekarang pula ana telah memberikan kepada antum. Ana lega dan sangat-sangat gembira, sebak bila akhirnya antum telah bersama-sama dalam saf perjuangan akidah yang dinikmati hari. Sengaja ana tawarkan diri untuk bersama-sama program kedua dan sememangnya ana sudah rancang lama untuk pastikan ana ada bersama-sama antum disaat berbaiah, saat yang ana juga begitu tertunggu-tungggu. Hasilnya, bermula daripada cuma seorang pelajar yang biasa, kini kita telah memiliki satu aset yang bernilai melebihi orang lain yang mesti dijaga dengan sempurna. Ianya nikmat besar untuk diri antum sendiri kerana kebaikan demi kebaikan akan muncul selagi kita bergerak atas dasar faham dan ikhlas dalam jalan jemaah ini. Ana korbankan rasa terkilan ana terhadap antum seketika atas beberapa perkara, ana pujuk diri sendiri supaya menerima segala yang berlaku asalkan antum sempurna berada dalam ikatan jemaah. Jagalah dengan baik jemaah ini dan belajarlah dengan lebih bersungguh kerana hendak ataupun tidak, antum suatu hari nanti adalah pengganti mereka-mereka yang akan meninggalkan kampus. Jangan sesekali memusnahkan saf yang telah didirikan lama oleh abang-abang dan kakak-kakak kita dahulu. Mereka dahulu bersusah payah sedangkan kita hanya menikmatinya hari ini. Maka jagalah keluarga ini, binalah keluarga ini dengan kefahaman, kehadapankan diri antum dan izzahkan kembali peranan setiap daripada kita untuk manfaat dikampus. Jangan sesekali buat perkara yang mengundang keburukan kepada keluarga. Hiduplah dalam jemaah dan jemaah sebagai kehidupan. Jadikan keluarga ini sebagai sumber kekuatan. Kerana apa? Setiap kesakitan, kepayahan, letih, kecewa hingga mengantuk dalam berjemaah jauh lebih baik daripada antum sendirian. Ana juga boleh mengharapkan antum berdua untuk terus membimbing dan mengajak sahabat-sahabat kita yang lain mudah-mudahan mereka juga berkesempatan merasai nikmat berkeluarga. InsyaAllah pertalian kita tidak akan putus dan pasti akan bertemu semula dalam banyak lagi program-program yang disusun atur. Janganlah takut untuk terus belajar daripada keluarga sebaliknya binalah keupayaan diri sepertimana yang diharapkan oleh jemaah. InsyaAllah, keberadaan kita dikampus cuma beberapa tahun jadi rebutlah kesempatan demi kesempatan untuk mendidik jiwa dan fikrah kita seteguh mungkin sebelum benar-benar terjun ke medan sebenar. Ana yakin antum pasti mampu harungi kesemuanya dengan baik nanti J

Syah Hafiz dan Ustaz. Ana kagum dengan antum berdua kerana masih mampu beristiqamah dengan kebaikan dan menjauhi perkara-perkara yang kurang baik. Syukurlah antum bijaksana memilih kawan-kawan, bertemankan sahabat-sahabat Mei10 yang semuanya baik-baik, satu-satunya batch yang paling ana rapat dan kenali. Bergaulah dengan kawan-kawan yang antum miliki sekarang dan jagalah hubungan dengan mereka sebaik dan seikhlas mungkin. Jadikan diri antum dan diri mereka saling berpesan-pesan dengan kebaikan bukan menjuruskan kepada perkara-perkara yang mengundang keburukan. Saling mengingatkan dan membantu antara satu dengan yang lain. Ana juga ingin memohon maaf andaikata ana kurang usaha dan belum cukup membentuk antum mendapatkan mutiara sepertimana sahabat-sahabat antum sudah rasakan. Ana sentiasa membayangkan antum agar bersama-sama dalam ‘keluarga’, agar bersama-sama membentuk diri dan orang lain dengan cara hidup dan bekerja dalam jemaah. Iaitu dengan cara susah dan senang dalam jemaah, sakit dan penat juga dalam jemaah. Walaupun setelah beberapa lama ana berusaha merancang banyak perkara bagi membolehkan antum bersama-sama barisan dakwah ini, ana terpaksa akur dengan keputusan bahawa antum belum cukup bersedia sesuai dengan tapisan-tapisan Allah untuk hamba-hambanya yang terpilih. Ana merancang sedangkan Allah juga merancang sesuatu untuk antum mungkin yang lebih baik dan ana masih mengharapkan suatu hari nanti sahabat berdua dapat merasai nikmat berjemaah yang ana maksudkan iaitu mutiara yang antum tertanya-tanya sejak dalam usrah smart group. Antum berdua telah terlalu hampir untuk meraih mutiara yang ana sebut-sebutkan. Terlalu hampir yang menyebabkan ana begitu terkilan bila antum berdua akhirnya peluang antum ditangguhkan sehingga hari ini. Harapan ana samada antum bersama-sama jemaah ataupun tidak hanyalah sekurang-kurangnya antum dapat menghayati tuntutan hidup sebagai seorang yang Islam daripada segi fikrah (pemikiran), latar belakang sehinggalah sampai ke peringkat kekeluargaan. Antum mesti faham bahawa antum diamanahkan dengan tanggungjawab untuk memastikan hidup dan mati antum dan orang-orang disekitar antum adalah untuk Islam. Islam tidak hanya cukup untuk diamalkan kepada diri sendiri sahaja. Ajaran yang Islam anjurkan adalah bersifat menyampaikan iaitu sahabat-sahabat sebagai pendakwah dan mesti menyampaikan seruan Islam dalam bentuk tindakan. Soal siapa dan bagaimana antum sebelum ini bukan halangan untuk tidak beramal dan berdakwah untuk Islam. Harapan ana supaya teruskan beramal dengan perkara-perkara yang terpuji dan tingkatkan istiqamah. Cukup memadai antum mengecewakan ana dengan meninggalkan jemaah di masjid. Ana sering memerhati gerak-geri antum walaupun terbatas, tapi kehadiran antum ke masjid terutamannya jadi jalan pintas untuk ana nilai mujahadah antum. Sayang bila akhir-akhir ini ana jarang sekali melihat kelibat sahabat-sahabat di masjid, walaupun ana tahu sekurang-kurangnya antum berjemaah diasrama. Tapi, kalau dulu antum mampu berulang-alik ke masjid kenapa sejak akhir-akhir ini seolah-olah gagal sedangkan antum ada kenderaan yang baik untuk dimanfaatkan. Rugilah kalau ada kenderaan yang elok tetapi tidak digunakan untuk ke rumah Allah. Rugilah sahabat-sahabat kalau terus dengan kebiasaan ini. Pesanan ana. Jangan jadi pelajar biasa seperti kebanyakan yang ana jumpa dan kenal. Belajar penat lelah di UTP tetapi jasad jauh daripada masjid Allah. Jadilah pelajar luar biasa yang seimbang pelajaran dan tekun kerumah Allah. Sahabat-sahabat tidak hebat mana pun bila jauh daripada rumah Allah kerana setiap daripada kita ini hanya dimuliakan dengan Islam. Jangan banyak beralasan sibuk dengan macam-macam urusan kerana sahabat-sahabat antum yang lain lebih penat menggalas urusan dan taklifan mereka. Ana jujur masih terlalu mengharapkan supaya antum tidak turut ketinggalan menyertai sahabat-sahabat ana dalam batch Mei10 dalam kerja-kerja dakwah. Ana sentiasa mengharapkan antum bakal bersama-sama mereka sejak daripada awal. Hanya mungkin ditakdirkan oleh Allah samada dipercepatkan atau dilambatkan. Ana yakin antum telah ada kefahaman yang baik dan masih perlu digilap. Libatkanlah diri dan sibukkanlah diri dengan menginfakkan masa dan tenaga untuk menyumbang kepada dakwah Islam, carilah ruang-ruang yang antum boleh sumbangkan kepada Islam. Sahabat-shabat sedarlah, antum pernah menjadi sehebat dulu istiqamah berusrah dan berjemaah, berukhwah dengan rakan-rakan yang soleh. Antum sepatutnya ada kekuatan yang sama seperti yang ana pernah kenal dulu. Sedangkan sahabat-sahabat yang baik disekeliling kita jugalah yang sentiasa menjadi individu yang memotivasikan hati-hati supaya terdetik rasa ingin berubah dan melakukan amal kebaikan. Syukurilah rakan-rakan yang baik yang Allah anugerahkan sementara saling menampung kekuatan dan kelemahan diri kita.

 

Alhamdulillah, insyaAllah yang terakhir daripada ana insan biasa yang hadirnya tidaklah memberi makna yang besar manapun kepada antum. Bila seseorang hadir dalam kehidupan seseorang yang lain, Allah pasti kesampingkan hikmah dan sebab tertentu. Ianya samada supaya kita belajar daripadanya atau hidup bersama-sama mereka. Apapun ana ambil keduanya. Ana cukup banyak belajar daripada sahabat-sahabat perkara-perkara yang ana tak dapat daripada orang lain. Antum insan yang beri ana semangat dalam banyak perkara hinggalah hari ini, saat ana menulis pesanan ni. Ana juga menjadi orang yang banyak berubah juga kerana antum. Perkenalan ini akan terus hidup selagi mana hati-hati mereka terus hidup, bila hati-hati mereka hidup dalam kebaikan dan saling tegur menegur. Apabila jiwa-jiwa mereka juga sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT setiap kali melihat raut wajah antara mereka dan selagi perasaan-perasaan mereka tulus dalam bersahabat. Kenangan-kenangan itu akan sentiasa segar dan tersimpan sebagai motivasi untuk menjadikan ana dan antum yang sentiasa ingin mencipta kebaikan untuk diri sendiri dan orang lain InsyaAllah. Mudah-mudahan ukhwah kerana Allah ini akan menghadirkan kemanisannya yang berterusan. Walaupun masih ada maksud yang tidak terucap dan tertulis disini, semoga ingatan, pesanan dan doa yang baik akan terus menghubungkan kita. Bimbang juga kalau-kalau ana hanya terpedaya dengan persahabatan yang keikhlasannya belum terjamin. Keikhlasan tu boleh diciptakan atau ditajdidkan semoga Allah memelihara ukhwah ini dengan sempurna. Akhirnya, sahabat-sahabat tidak perlu ingat siapa ana dan apa-apa yang dilakukan bersama selama ini. Cukuplah ana yang ingat antum bersama-sama kenangan yang berlalu. Dengan berat hati, izinkan ana kembali menganggap antum sebagai individu biasa yang pernah hadir dalam kehidupan ana sebaik antum baca apa yang ana tuliskan ni, sebab ana ambil masa yang cukup lama untuk tidak terus memikirkan antum. Ana mengambil masa lebih daripada dua semester untuk memaksa diri membiasakan diri berjauhan dengan antum, bersikap dingin dan tidak ambil tahu. Ana tidak mahu lagi menganggap antum melebihi apa yang ana tak mampu lakukan. Maafkan ana juga bila ada keterlaluan dan berlebihan selama ini dalam kata-kata nasihat atau tindakan yang kurang cermat dan mengguris perasaan, terus terang ana seorang yang cukup ego dan pentingkan diri dan antum cukup perasan sifat ini. Maafkan keegoan dan sifat pentingkan diri yang ana tunjukkan selama ini dan gagal mempamerkan contoh teladan yang baik kepada antum dan sahabat-sahabat yang lain. Ana halalkan makan minum seumpamanya semoga antum juga halalkan perkara yang sama. InsyaAllah kita pasti berjumpa lagi pada kesempatan yang lain. Terkilan tak jumpa antum sebelum balik ataupun memang ana tak berhasrat untuk berjumpa. Kalaupun jumpa dengan antum, belum tentu ana dapat luahkan apa yang ana sedang tulis. Terima kasih kerana sudi bersahabat dengan ana juga kerana telah menjadi aspirasi buat ana. Ana mohon doa sahabat-sahabat supaya dipermudahkan urusan kerjaya dan baitul muslim ana dan semoga terus beristiqamah dalam jalan dakwah terutama apabila berada diluar sana. Berusaha dan jagalah akademik antum dan dapatkan kepuasan dalam belajar dan uruslah diri, masa dan taklifan antum sebaik mungkin. Terima kasih sekali lagi Akmal, Syah, Ustaz, Affan dan lain-lainnya. Antum adalah nama-nama yang ana akan sentiasa ingat InsyaAllah. Pagi ini ana bertolak ke Kelantan berkudakan Lagenda ana tu. Semoga selamat sampai InsyaAllah. Satu lagi, antum tak perlu balas apa-apa setelah baca apa yang ana tuliskan ni kerana ana Cuma mengharapkan apa-apa yang ana ingin maksudkan dan kongsi sampai kepada antum. Wallahu’alam.

 ImageImageImageImage

Assalamualaikumwarahmatullah

 

Wan Ibrahim al-Kutani

19 September 2012

8.18 AM

 
Leave a comment

Posted by on December 11, 2012 in Nota Terbuka