RSS

PAKATAN RAKYAT, HARAPAN BARU MALAYSIA..UMNO/BN TERTOLAK

20 Dec

 

Image

Sesekali rasa terpanggil untuk melontarkan pandangan sambil termakan dengan cabaran daripada sesetengah pihak, sekurang-kurangnya amanat kepada agenda besar sebuah negara ini disampaikan kepada masyarakat, supaya rakyat mampu menilai dan menghayati wawasan sebuah perjuangan politik yang bercita-citakan Islam dan memartabatkan bangsa serta meruntuhkan blok-blok kezaliman.

Saya juga seorang rakyat biasa yang mengisi celah-celah kecil dalam masyarakat yang mengintai-intai dunia sebenar dan politik nilai yang lebih baik. Saya juga pernah melalui hari-hari sebagai penuntut institusi pengajian tinggi serta berpeluang mengisi platform pemerintahan pelajar di Universiti. Seharusnya, saya juga mesti banyak mempelajari sepak terajang dan jatuh bangun sesebuah organisasi terpenting pelajar di kampus ini, yang insyaAllah berbekalkan pengalaman yang sedikit itu, saya mencipta prinsip tersendiri dalam mendalami tassawwur (gambaran) perjuangan politik sebenar didunia realiti.

Politik kepartian dan kenegaraan yang sedang meniti dibibir masyarakat amnya ataupun oleh segelintir mahasiswa merupakan salah satu juzuk terpenting kepada pengertian politik. Kita boleh sahaja berbicara politik rumah tangga. Anda boleh sentiasa mengamalkan politik ditempat kerja. Saya juga boleh mengkehadapankan politik pelajar. Juga termasuk politik berorganisasi sehinggalah politik perniagaan. Ya, politik itu sesuatu yang luas dan jangan sesekali disempitkan kerana istilah ini tidak bersifat eksklusif kepada parti-parti politik sahaja, istilah dan pengisian politik ini berlaku sejak dahulu malah sudah sebati dalam kehidupan. Namun, harus difahami, politik bukanlah segala-galanya, segala-galanya bukan politik melainkan yang tertinggi iaitu Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna yang meletakkan politik pada sisi yang cukup besar dan penting kepada manusia. Islam hadir dalam rencah politik yang terlalu rosak dan mendengkam, kemudian Islam memperbaiki akhlak berpolitik. Islam tampil untuk memperbetul akhlak bernegara. Bukankah Rasulullah SAW diutus untuk mengajarkan akhlak yang mulia. Islam mencirikan akhlak yang dicanangkan oleh Allah SWT dalam perihal akidah, soal ibadah, adab berkeluarga, etika berekonomi, kod bersosial, aturcara memerintah dan sistem berhukum. Jadi, bahagian mana yang tidak diajar oleh Allah dan Rasulnya melalui agama mutakhir ini iaitu Islam, sedangkan hal-hal makan minum, tidur dan buang air juga diajar dalam Islam? Saya simpulkan dalam hal ini dengan perkaitan-perkaitan sedemikian justeru supaya kita memahami erti yang sama dan adil kepada politik. Atas asa ini juga, dengan mudah saya akan tangkis mana-mana fahaman yang ‘mengharamkan’ tajuk politik kenegaraan daripada dibincangkan oleh mana-mana pihak, termasuk kelompok mahasiswa yang cukup sinis terhadap politik. Saya punya tanggungjawab tersendiri untuk memperbetulkan keadaan yang telah sekian lama tertanam dibenak pemikiran mereka. Dalam memperbetulkan  diri sendiri dan orang lain, pendekatan lembut atau keras bukan akar kepada isi yang berbuah. Jika kelembutan dalam memberi komentar itu berhikmah, maka gunakanlah. Dan jika ‘kekerasan’ dan ketegasan itu juga memberi maksud hikmah atau sampai kepada hajat yang dimaksudkan, maka gunakanlah. Berlembutan tidak selalunya lembut, berkerasan tidak selalunya keras.

 Sebelum itu, suka untuk saya kemukakan beberapa realiti dan fenomena politik negara Malaysia, sesuai dengan tahap analisis dan pemerhatian saya.

  1. Untuk membentuk sebuah negara dan pemerintah, politik kepartian merupakan keperluan yang wajib. Tidak boleh tidak ada melainkan di Malaysia, struktur pemerintahan bergantung kepada istitusi politik. Tidak wujud seorang individu yang secara tiba-tiba bangkit dan dipilih oleh rakyat untuk memimpin melainkan mesti di atas platform sebuah parti.
  2. Pakatan Rakyat (PR) terbentuk hasil gabungan dan persefahaman dalam beberapa matlamat perjuangan oleh Parti Islam Semalaysia (PAS), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action Party (DAP). Mirip kepada Barisan Nasional yang merangkumi parti teras tiga bangsa utama, termasuk parti komponen di Sabah dan Sarawak, iaitu UMNO, MCA dan MIC.
  3. PAS dan UMNO adalah parti orang Melayu terbesar yang bersaing sejak sebelum kemerdekaan. PKR adalah parti yang meraikan semua kaum dengan prinsip tersendiri. DAP pula bukan hanya milik mutlak orang Cina tetapi keterbukaan parti ini melebihi daripada apa yang diamalkan oleh MIC atau MCA.
  4. PAS hari ini telah memiliki sayap penting yang ditumpangi oleh masyarakat bukan Islam melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang telah meraih hampir 50 000 ahli, selain Dewan Pemuda, Dewan Ulama dan Dewan Muslimat.
  5. Pakatan PAS-PKR-DAP bermatlamat meruntuhkan kezaliman yang satu. Walaupun berbeza daripada segi ideologi, mereka mampu duduk semeja untuk memastikan agenda-agenda yang serupa dilaksanakan.
  6. Barisan Nasional, walaupun memiliki parti komponen yang hampir sama, situasinya tetap berbeza daripada wawasan Pakatan Rakyat.
  7. Dalam BN, Islam yang dibawa UMNO terlalu samar dan sering dicarik-carik oleh pemimpin dan ahli mereka sendiri. MCA pula sejak dahulu hingga akhir zaman menentang Islam dan hukumnya secara jelas, melalui tindakan dan kenyataan-kenyataan serta pendirian mereka.
  8. Berbeza dengan PAS dan DAP. PAS secara konsisten meletakkan Islam sebagai teras parti, dan cukup istiqamah dengan cita-cita mengislahkan negara. DAP sebagai rakan komponen walaupun masih baru, dilihat semakin berjinak-jinak dengan PAS dan Islam, termasuk pendirian mereka terhadap hukum Hudud dan sistem Islam yang lain. DAP sekurang-kurangnya  menghormati Islam bukan sahaja kerana perlembagaan negara yang menyatakan sebegitu. Bahkan didalam mesyuarat DAP, doa-doa dan ucapan-ucapan Islamik diterima dengan baik. Pastinya fenomena ini tidak berlaku dalam MCA atau MIC sejak bersahabat dengan UMNO puluhan tahun lalu.
  9. Media arus perdana tidak memainkan peranan yang selayaknya. Mereka lebih selesa disusun atur oleh pemerintah. BN sejak dahulu bersungguh-sungguh menafikan hak pembangkang dalam media, bersungguh-sungguh memanipulasi media massa hingga diluar etika.

10. Pakatan Rakyat berhempas pulas menguasai media alternatif demi menyalurkan maklumat kepada rakyat. Hasilnya, media alternatif merupakan pemangkin kepada kemenangan PR di 5 buah negeri pada PRU12.

11. Tidak ada negara yang pemerintahnya tidak memanipulasi istitusi terpenting negara seperti sistem Kehakiman, Kepolisian dan Suruhanjaya Pilihanraya SPR. Kerajaan BN terbukti menggunakan sistem-sistem ini dengan cara yang tidak bermaruah.

12. Kerajaan negeri PR seperti Kelantan sekian lama dinafikan hak oleh kerajaan Pusat dalam beberapa aspek pembangunan, kekangan kewangan dan hak royalti.

13. UMNO adalah parti yang tercetus daripada saki-baki penjajah British. Pemimpin-pemimpin mereka rata-rata berpendidikan Barat yang telah lama ditanam dalam kepala mereka, yang secara tidak langsung menjaga kepentingan penjajah. Mana-mana penjajah akan meninggalkan anak benih mereka di tanah jajahan, dan di Malaysia benih tersebut berkembang biak dalam sebuah parti bernama UMNO.

14. Akta Keselamatan dalam negeri ISA dicipta oleh BN yang mirip kepada sistem yang dimiliki oleh Barat dan Yahudi untuk menjaga kepentingan tertentu. Lebih kritikal adalah akta ini ternyata bercanggah dengan Islam walaupun beberapa kali wajah ISA ini cuba di’mekap’ dengan istilah-istilah baru.

 

Seterusnya, kenapa kita meniupkan angin perubahan yang semakin meluru laju dengan menampilkan Pakatan Rakyat sebagai pemerintah baru demi sebuah keadilan, kebajikan dan kemakmuran negara?

 PERTAMA – Mari kita melihat kepada persoalan tertinggi yang berkait rapat dengan ideology politik, iaitu AKIDAH perjuangan. Di Dalam Pakatan Rakyat, PAS sebagai parti politik Islam memainkan peranan yang cukup penting dan tinggi dalam memastikan kerajaan Pakatan terus seimbang membangunkan agama, rakyat dan negara. Keberadaan PAS yang kukuh dalam PR menjadi asas yang kukuh supaya terlaksana cita-cita Islam dalam pentadbiran negara kelak tidak dapat dinafikan bahkan mesti diberi sokongan yang berterusan. Ya, kita akui wujudnya sedikit pergeseran pendapat berkenaan hukum Islam dan sebagainya dikalangan pemimpin DAP. Namun, kebanyakannya adalah disebabkan salahfaham dan tidak faham orang bukan Islam terhadap apa yang diperjuangkan oleh PAS. Salahfaham ini adalah perkara yang biasa kerana DAP itu bukan Islam, memadailah jika mereka tidak faham Islam dalam konteks tersebut. Oleh kerana itu, selama dalam PR, PAS telah berusaha meyakinkan DAP tentang prinsip PAS, dan PAS, DAP dan PKR masing-masing faham dan menghormati ideologi perjuangan masing-masing. PAS dengan tegas akan mempertahankan prinsip Islam yang dipegang selama ini. Dalam konteks ideologi ketiga-tiga mereka pula, walaupun berbeza, masing-masing menetapkan cita-cita yang sama untuk menjatuhkan kerajaan UMNO/BN atas dasar kezaliman. Hari ini DAP telah faham Islam dalam banyak aspek, dan disinilah kerjasama dalam Pakatan Rakyat akan terus berlangsung kerana mereka sudah mula berjinak dan memahami satu sama lain.InsyaAllah.

KEDUA – Sekiranya persoalan siapakah bakal mewakili kaum majoriti Melayu jika UMNO ditolak oleh rakyat? Kita akan katakan PAS dan PKR lah yang akan bekerjasama memartabatkan bangsa Melayu dalam pelbagai aspek. Dalam PAS, majority PAS adalah Melayu, begitu juga dalam PKR. Jadi kebimbangan orang Melayu tidak wajar ditimbulkan melainkan cukup sebagai permainan UMNO yang tidak bermaruah. Jika UMNO terus-menerus meniupkan isu berbaur perkauman, gabungan PAS dan PKR akan mendominasi suara-suara orang Melayu. Ini belum lagi termasuk orang-orang Melayu UMNO yang akan turut serta mengangkat PAS dan PKR sebagai wakil mereka. Maka, kebimbangan dalam soal ini, bukanlah sepertimana yang digembar-gemburkan oleh UMNO melalui ucapan-ucapan mereka. Jika mahu menjaga kepentingan orang Melayu, orang Melayu UMNO mesti sokong PAS dan PKR. Selesai masalah.InsyaAllah.

KETIGA – Ketelusan dan kejujuran pemimpin Pakatan Rakyat juga banyak bergantung kepada akhlak pemimpin parti teras dalam Pakatan. Pemimpin daripada parti PAS diakui bersih daripada unsur-unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa disebabkan ikatan wala’ dan janji setia ahli-ahli mereka terhadap perjuangan Islam. PKR dalam sejarahnya pula menyaksikan beberapa pemimpin mereka yang mencabuli amanah rakyat apabila melompat parti, namun telah diselesaikan dengan baik oleh PKR dengan membersihkan parti itu daripada ahli-ahli mereka yang tidak amanah. DAP juga tidak mempamerkan banyak masalah-masalah moral berkaitan ahli dan pentadbiran mereka. Jika perbandingan secara kasar dilakukan antara ketelusan dan kejujuran Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, kes-kes salahguna kuasa dan rasuah lebih nyata dilihat dalam BN. Sila rujuk beberapa kes terdahulu yang melibatkan pemimpin UMNO.UMNO sendiri mengakui parti itu meruncing dengan budaya politik wang dan lobi-melobi dikalangan ahli termasuk untuk memenangi projek-projek kerajaan.Jika ada kes yang berkait dengan Pakatan Rakyat, maka kemukakan. Walaupun isu rasuah ini boleh menimpa sesiapa, hakikat seorang manusia juga tidak boleh dinafikan. Cuma keseluruhannya, situasi sekarang membuktikan pakatan mereka iaitu UMNO/BN sudah parah dengan isu ini.

KEEMPAT – Selagi agama Islam menjadi keutamaan, UMNO bukanlah sebuah parti yang layak memimpin agama Islam. Bagaimana sebuah parti sekular dan menebal semangat kebangsaan itu mampu membawa agama Islam. Status pejuang Islam yang mereka sendiri laungkan tertolak disebabkan mereka tidak pernah ikhlas memartabatkan agama Islam, berdolak-dalih dalam banyak urusan. Perjuangan mereka hanya bersifat setempat dan penuh dengan semangat kebangsaan Melayu semata-mata. Mereka tidak jujur dalam isu-isu akidah dan hukum-hakam Islam. Para Ustaz dan ‘ulama’ yang bersama-sama mereka hanya diperalatkan dan sebagai pelengkap syarat supaya UMNO dilihat islamik semata-mata mendapatkan sokongan orang Melayu Islam. Buktinya kita dapat perhatikan dalam kehidupan pemimpin-pemimpin mereka ini asas Islamnya entah ke mana? Lihatlah isteri-isteri dan anak-anak mereka. Seorang pemimpin yang baik yang cintakan Islam, harus memulakannya dengan keluarga sendiri sebelum tampil memimpin masyarakat. Pakatan Rakyat menerusi PAS terutamanya, bersiap sedia untuk mengambil alih kuasa demi mengangkat Islam dan isinya dalam pemerintahan negara. Banding bezakan gaya hidup pemimpin mereka dengan pemimpin daripada PAS dan PR. Anda akan dapati perbezaannya.

KELIMA – Berkaitan dasar dan pendekatan perjuangan, khususnya antara UMNO dan PAS begitu berbeza. Dalam soal ini, Pakatan Rakyat memiliki PAS yang mahukan Islam manakala BN memiliki UMNO yang tidak serius malah menentang Islam. UMNO tidak akan sekali-kali melaksanakan pengisian sebagai sebuah negara Islam terutamanya dalam aspek undang-undang kerana alasan-alasan purba yang tidak logik, sehingga meruntuhkan akidah pemimpin mereka. Rujuk teks-teks ucapan serta pendirian pemimpin-pemimpin mereka berkenaan hukum hakam Islam.

KEENAM – UMNO dan BN dalam setiap pendekatannya terhadap masyarakat seringkali memisahkan urusan agama dan politik. Mereka seboleh-bolehnya mahu urusan politik tidak dicampuri hal-hal agama kerana mahu menjaga kepentingan mereka. Bagaimana perbincangan politik tidak dibolehkan dalam masjid-masjid dan surau-surau sebagai contoh? Hal ini kerana apabila Islam mencampuri politik, terlalu banyak perkara-perkara dan kegiatan sumbang dan jahat mereka yang akan terdedah menyebabkan kepentingan mereka akan tergugat. Islam akan menerangkan akhlak tentang politik dan bagaimana menguruskan negara, sedangkan pada masa yang sama UMNO/BN sedang melakukan kegiatan yang bertentangan dengan tuntutan agama. Ketika ini jugalah posisi PAS menjadi penting dalam Pakatan Rakyat yang akan membawa suara Islam ke dalam Parlimen, menggubal peruntukan undang-undang yang mesra Islam, serta mendekatkan masyarakat kepada Islam.Dibawah Pakatan Rakyat, masjid-masjid dan surau dihidupkan dengan majlis imu yang sebelum ini amat jarang berlaku semasa BN memerintah. Makanya, dakwah Islam kepada parti-parti komponen berlaku dengan baik, dan rakyat dididik dengan penghayatan yang betul.

KETUJUH – Pencapaian yang terbukti lebih baik di negeri-negeri PR. Kebolehmampuan PR mentadbir negara terbukti apabila 4 negeri (dulu 5 termasuk Perak) menjadi negeri yang mengungguli kecemerlangan audit negeri yang disahkan oleh Jabatan Audit Negara. Bagaimana ini mampu dicapai dalam tempoh masa kurang 5 tahun memerintah? Jawapannya adalah kerana komitmen kepada amanah rakyat, telus dan adil dalam pemerintahan

KELAPAN – Janji awal PR dalam tempoh 100 hari sekiranya memerintah Malaysia membuahkan hasil dan dapat dilihat melalui negeri-negeri yang ditadbir. Perlaksanaan janji tersebut terlaksana dan sedang dilunaskan oleh PR walaupun dengan kekangan kewangan dan serangan UMNO/BN

KESEMBILAN – Kegagalan UMNO/BN yang gagal memahami Islam sepenuhnya telah menyuburkan agenda-agenda maksiat, judi dan arak dalam negara yang merosakkan sistem negara, merosakkan sistem sosial. Siapa yang bertanggungjawab melindungi agenda-agenda ini atas nama pendapatan negara? Dihalalkan selagi menyumbang dana besar kepada negara? Kegagalan ini terbukti sekiranya kita betul-betul cakna dengan perkembangan yang ada diseluruh negara. Dalam kesempatan ini, Pakatan Rakyat menjadi alternatif terbaik untuk memulihkan keadaan kerana komitmennya yang serius dengan Islam, komitmen yang bersungguh-sungguh untuk kebajikan dan pembangunan rakyat. Kita ada peluang untuk memperbaiki masyarakat dan sistem-sistem yang ada dengan menawarkan kerajaan baru yang berprinsip.

KESEPULUH – Kerjasama PAS dan PKR telah menambahkan kerusi Parlimen untuk orang Melayu/Islam. Kerana dalam PAS, mereka adalah calon Islam yang mahukan Islam, dan dalam PKR mereka juga Melayu Islam, walaupun mungkin dengan latar-belakang yang agak berbeza antara orang PAS dan bukan PAS. Pokoknya, kerusi Melayu Islam bertambah. Dan jika orang Melayu Islam daripada UMNO mengalihkan sokongan mereka kepada PAS dan PKR, maka isu perkauman Melayu dan Islam mampu diselesaikan. Apa yang pelik dan bercelaru dalam UMNO ialah apabila mereka menyatakan sekiranya Melayu tidak undi UMNO, maka Melayu akan tersingkir, sedangkan selain UMNO, PAS dan PKR bersedia menerima sokongan dan dokongan Melayu yang dulunya UMNO bernaung dibawah perwakilan Pakatan Rakyat.

KESEBELAS – Pakatan Rakyat wajib menggantikan UMNO/BN demi menyelamatkan harta dan khazanah negara daripada terus hilang dan dirampas. Hal ini boleh dibuktikan dengan melihat statistik hutang negara yang amat parah, disamping ketirisan wang dalam projek-projek mega yang diraih oleh kroni-kroni mereka. Laporan Audit negara juga telah membuktikan Pakatan Rakyat lebih bijaksana dan berhemat dalam urusan perbelanjaan kewangan negeri.

Perkara terakhir yang ingin saya sebutkan adalah tanda Tanya dalam beberapa isu yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Ambillah sedikit masa untuk memahami isu-isu ini, walaupun berat dan sukar difahami, sebagai individu terpelajar, jangan dijadikan alasan untuk tidak mengambil peduli hal-hal sebesar ini.

  1. Apa khabar isu FELDA?
  2. Apa khabar isu ISA?
  3. Apa khabar isu BERSIH?
  4. Apa khabar isu Royalti Kelantan dan negeri-negeri lain?
  5. Apa khabar isu SPR?
  6. Apa khabar isu kad pengenalan kepada warga asing?
  7. Apa khabar isu pelantar minyak Pahang?
  8. Apa khabar isu pembunuhan Altantuya?
  9. Apa khabar isu Scorpene?

10. Apa khabar isu Rosmah puaka?

11. Apa khabar isu Hishamudin campur tangan polis?

12. Apa khabar isu pembunuhan Memali 1987?

13. Apa khabar isu liwat DSAI?

14. Apa khabar isu Chua Soi Lek?

15. Apa khabar isu Ketua Menteri Sarawak?

16. Apa khabar isu kroni-kroni BN?

17. Apa khabar isu murtad?

18. Apa khabar isu Ulama UMNO?

19. Apa khabar isu Mufti Politik UMNO?

20. Apa khabar dan apa khabar??

Wan Ibrahim al-Kutani

Advertisements
 
Leave a comment

Posted by on December 20, 2012 in Nota Terbuka

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: