RSS

Daily Archives: January 16, 2013

Sayonara MPPUTP 2012 & Bawani, Sharifah, Mahasiswa dan Hak Bersuara

Sayonara MPPUTP 2012/2013 – Students’ Ambassador

“Ketahuilah bahawa setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya.” – Nabi Muhammad SAW (Hadis Muttafaq Alaih)

Image

Bismillahirrahmanirrahim. Dengan nama Allah yang terpuji Tuhan sekalian makhluk dilangit dan dibumi. Setinggi-tinggi junjungan ke atas baginda Rasulullah SAW penutup para nabi, keluarga dan para sahabat baginda.

Dalam usaha untuk melestarikan ideologi Mahasiswa dan kepimpinannya, dengan rasa penuh kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT kerana dengan limpahan rahmat-Nya, saya dapat menggarap satu lagi penulisan yang saya kira buat kali yang terakhir sebagai mewakili peribadi saya serta barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Petronas (MPPUTP) yang berakhir secara rasminya pada hari ini (16 Januari 2013). Coretan ini sengaja dipanjangkan sehingga tarikh pembubaran MPPUTP bagi sesi 2012 sebagai mewakili kata-kata penggulungan setelah genap satu sesi ‘pemerintahan pelajar’ bermotifkan cita-cita sebagai Duta Mahasiswa atau Students’ Ambassador  yang terlaksana dalam segenap program dan gerak kerja kami rakan-rakan MPPUTP di kampus tercinta ini.

Duta Mahasiswa – Tersurat dan tersirat

Kita akui mana-mana kepimpinan samada diperingkat persekolahan rendah dan menengah, peringkat universiti dan institusi sehinggalah dalam konteks negara, setiap satunya mencipta pendekatan dan corak tersendiri yang pelbagai. Cubalah perhatikan bagaimana sesebuah pemerintahan atau kerajaan mempraktiskan idea kenegaraan seperti 1Malaysia, Berkebajikan, Adil dan Amanah umpamanya tidak lain adalah bertujuan sebagai inisiatif memperkenalkan imej bagaimana sesebuah pemerintahan bakal dilaksanakan. Menerusi terma-terma mesra rakyat sedemikian akan tercetus modus operandi yang menghidupkan dasar-dasar negara dan yang akan membangunkan sistem-sistem sosial. Begitu juga yang berlaku dalam organisasi kepimpinan peringkat mahasiswa. Meskipun skopnya agak kecil dan tertumpu dalam kelompok mereka sahaja, pendekatan mesra pelajar menjadi suatu keperluan untuk memperkukuh mandat yang digalas selain meraih perhatian para penuntut terhadap badan pelajar tertinggi dan berprestij ini.

Berpengalaman dalam tiga siri kepimpinan MPPUTP menerusi 3 tagline yang bertukar ganti – Inspiring Perspective (2008/2009- Ahmad Farouqi), Pursuing Togetherness (2009/2010-Haniff Humam), Reaching Communities (2010/2011-Hamzah Nawawi) dan Students’ Ambassador (2012-Ibrahim al Kutani), penghayatan saya mengatakan secara prinsipnya, mirip antara satu sama lain walaupun dengan tafsiran yang mungkin sedikit berbeza. Kesemuanya menepati ‘citarasa’ perjuangan Mahasiswa yang idealis. Padahal dalam arena kampus, sudah memadai istilah-istilah yang ‘straight forward’ dan mudah difahami, tidak perlu kepada istilah-istilah yang serba canggih dan komplikated.  ‘Duta Mahasiswa’ yang dikemukakan oleh barisan MPPUTP sesi 2012 dalam memenuhi tuntutan kebajikan pelajar dikampus bagaimanapun tetap disulami dengan intipati yang tersurat dan tersirat. Komponen asal kepada istilah ini jujurnya diterima dan diperkemas dalam manifesto peribadi saya, kemudiannya dicerna dan dihayati oleh seluruh ahli wakil pelajar sebagai pendekatan baru menggantikan yang lama, dan berpijak pada bumi yang didiami mahasiswa. Umum mudah memahami konsep MPPUTP bertindak sebagai ‘duta’ para penuntut dalam mengurus hal ehwal yang bersangkutan dengan mahasiswa dan mendekatkannya kepada pihak pentadbiran universiti. Maka yang demikian, segala persoalan kebajikan dan keperluan-keperluan semasa mahasiswa mesti diletakkan sebagai yang paling utama yang mesti dilaksanakan. Agenda utama inilah yang sering diperhatikan oleh rakan-rakan pelajar dibawah tanggungjawab mereka, samada suara pelajar yang mereka lantik berkemampuan atau sebaliknya.

Walau bagaimanapun, dalam usaha memperjuangkan ‘hak asasi’ dalam checklist sebegitu, mahasiswa khususnya wajar mengambil kira kebolehcapaian dan keupayaan terhadap apa yang diperjuangkan. Sentiasalah peduli akan batas-batas kemampuan perwakilan pelajar mereka apabila kekangan pihak pengurusan universiti dibentangkan kepada mereka. Maksud saya, sesuatu isu yang diperjuangkan mungkin berpijak pada pandangan mahasiswa tetapi tidak semestinya rasional perlaksanaannya pada peringkat pentadbiran. Biasalah dalam kebanyakan hal dan situasi, tekanan kewangan dan peruntukan undang-undang serta peraturan sentiasa membelenggu Majlis Perwakilan Pelajar. Kelemahan dalam aspek-aspek ini masih boleh diterima, namun sekiranya melibatkan isu-isu ketirisan, pengabaian hak dan  profesionalisme dalam pentadbiran universiti, mana-mana suara pelajar mesti tampil dan bersikap tegas terhadap perkara yang disepakati salah dan menyeleweng. Justeru, dalam situasi ini Majlis Perwakilan Pelajar khususnya mesti berperanan sedaya upaya mungkin mengendali konflik-konflik yang berlaku. Adapun yang tersirat dalam pengertian ‘Duta Mahasiswa’ ini, adalah MPPUTP bersedia untuk berperanan melakukan anjakan pemikiran mahasiswa sebagai ‘kuasa ketiga’ yang turut berganding buah fikiran dengan menjejakkan sebelah kaki mereka didalam kampus dan sebelah kaki lagi bersama-sama masyarakat.

MPPUTP sesi 2012 meletakkan satu hasrat yang sedikit tinggi iaitu menghalatujukan mahasiswa kearah mentaliti negarawan yang peka terhadap isu-isu nasional juga merangkumi saripati perjuangan oleh blok-blok kepartian. Saya amati hasrat yang begini besar bukanlah usaha yang mudah, kerana usaha yang besar dan berterusan juga mesti dipadankan. Sepanjang mengagendakan hasrat ini, saya percaya ramai diluar sana yang tidak gemar akan ‘transisi’ sebegini. Bagi yang gemar dan yang mengambil tempat pula barangkali kurang persediaan menyebabkan diri saya dan mereka takut dengan bayang-bayang sendiri. Kejutan terbesar yang berlaku adalah apabila subjek politik dan isu-isunya diperbincangkan dalam medium diskusi. Sambutan mengenainya hambar dan sekejap-sekejap dipatahkan dengan hujah-hujah yang menafikannya. Kepada individu yang kritikal memerhati, jawapan samada hasrat ini berjaya atau gagal dicapai pastinya sudah terjawab. Bagi saya sebagai orang yang menebas laluan kearah merealisasikan transisi pemikiran ini, soal berjaya atau tidak bukan yang pertama. Secara peribadi, yang utama adalah usaha saya untuk menerobos pemikiran sebahagian besar mahasiswa yang mempunyai pendirian yang ‘sinis’ terhadap politik kenegaraan dan politik kepartian telah saya lakukan, telah saya pecahkan. Mudahan-mudahan rasional saya dan komitmen saya kearah mencapai maksud tersirat kepada penghayatan ‘Duta Mahasiswa’ yang dilihat ‘tidak popular’ akan melicinkan laluan akan datang yang bersifat jangka panjang. Jika ianya tidak dimulakan hari ini, bagaimana ianya akan tercapai pada hari esok kerana buahnya tidak berhasil dalam sekelip mata.

Harapan saya semoga pencerahan kepada maksud sebenar ‘Duta Mahasiswa’ yang dilaungkan sejak setahun ini mampu diterima dan diteruskan oleh kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar sesi akan datang.

MPPUTP 2012 – Anda pilih dan anda telah laksanakan

Alhamdulillah. Berkat kebergantungan segala usaha dan komitmen kepada Allah SWT, akhirnya MPPUTP Duta Mahasiswa 2012 menutup tirai secara rasmi pada 16 Januari 2013, setelah hampir setahun berkecimpung dalam pengurusan sebuah organisasi pelajar berprestij di sebuah universiti yang berprestij juga. Kita telah bersama-sama dalam bahtera yang satu, beralun berombak di lautan yang sama dalam untuk tempoh yang cukup singkat. Setahun ibarat seminggu yang mencemburui gerak kerja yang disusun terlalu banyak ditambah oleh hambatan akademik dan sebagainya. Satu tahun yang berlalu ini pastinya tidak mencukupi, apatah lagi dengan gagasan visi dan misi yang cukup besar.

Syukurlah MPPUTP kali ini dibarisi wajah-wajah yang komited, berkarisma dan tulus memperjuangkan agenda-agenda pembangunan Mahasiswa, serta ditambah kebaikan apabila setiap daripada kita berusaha untuk saling melengkapi atas kekurangan dan kebolehan masing-masing. Saya berbangga dengan keberadaan Majlis Tertinggi yang proaktif. Saya bersuka cita dengan ahli Exco yang begitu dedikasi. Saya bergembira dengan kehadiran Rakan Exco yang suka dan cepat belajar perkara baru. Latar belakang yang berbeza inilah yang menguatkan dan menjadikan MPPUTP 2012 semakin mantap. Buktinya, kita mampu bergerak sebagai kumpulan yang besar melaksanakan peranan yang terbaik untuk dua semester yang pertama. Kita bergerak laju dalam landasan yang kita bina sendiri dan melakukan pengisian yang efektif dan bermakna dalam banyak isu serta program-program yang dirancang dalam hanya beberapa bulan. Tidak kurang juga pada semester terakhir sehingga tarikh pembubaran, walaupun berlaku banyak kekosongan ahli-ahli dikampus kerana sebahagiannya melunaskan tanggungjawab cuti semester 4 bulan, sebahagian lagi menjalani sesi 8 bulan praktikal dan seorang lagi bergraduasi, perlaksanaan beberapa agenda yang masih tinggal tetap berjalan dengan kekuatan yang termampu.

 Syabas dan tahniah atas setiap usaha kecil dan besar yang disumbangkan, dan saya percaya MPPUTP 2012 kembali meraih perhatian dan sokongan sebahagian besar warga kampus termasuk kakitangan pengurusan universiti yang serius dengan kewujudan MPPUTP sebagai pengantara bagi bersama-sama berganding bahu membawa nama universiti dan warganya ke suatu tahap yang cukup membanggakan. Saya tidak menafikan masih ada kelemahan dan kekurangan baik dipihak MPPUTP mahupun pihak Universiti yang masih perlu diperbaiki dan ditegur. Saya juga berkeyakinan masih terlalu besar potensi setiap ahli MPPUTP dan para pelajar yang belum dimanfaatkan untuk kecemerlangan bersama. MPPUTP tanpa sokongan pelajar juga tidak akan mampu bergerak kerja dengan berkesan melainkan kita menggembleng sebarang inisiatif dan usaha bersama. Semoga setiap kejayaan atau ‘kegagalan’ yang dilalui bakal menjadi muhasabah yang berguna kepada setiap individu dalam keluarga MPPUTP 2012 sekaligus menjadi pemangkin untuk manfaat kepada wajah-wajah baru yang bakal membentuk satu saf yang lebih teguh dan berjiwa besar dalam Pilihanraya Kampus tidak lama lagi.

Kepada keluarga MPPUTP 2012, anda telah berhasil membawa organisasi ini ke aras yang cemerlang berbekalkan ukhwah dan persefahaman yang tinggi. Pada saya, MPPUTP 2012 adalah yang paling signifikan selama saya menceburi platform kepemimpinan pelajar ini selama 4 tahun di kampus Universiti Teknologi Petronas – kampus terbaik dalam bidang kejuruteraan dan teknologi dalam negara. Kita telah melakukan yang terbaik dan sedang menyelesaikan tugas-tugas terakhir yang masih berbaki. Teruskan berbakti kepada manusia, disamping giat memperdalam kemahiran dan mempertajam minda yang selayaknya sebagai seorang Mahasiswa, dengan mengharapkan balasan daripada Allah SWT. Hadiahkanlah ucapan tahniah kepada diri sendiri kerana sesungguhnya seseorang yang tidak merasai apa-apa yang kita rasai, sukar untuk menghargai apa yang kita rasai. Kita sendirilah yang kenal dan meletakkan tahap keupayaan kita. Yakinlah, teruskan mara kehadapan, dan sekali-sekala menoleh kebelakang dan menyapa suara-suara konstruktif dan destruktif yang akan merancakkan lagi perjuangan ini. Bersedia dan pupuklah diri kita menjadi mahasiswa yang besar jiwanya, terbaik akhlak dan ilmunya serta cemerlang dalam bidang akademik yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab-tanggungjawab yang ada. Saya turut merasakan bahawa saya jugalah antara orang yang paling banyak belajar daripada kejayaan dan kesilapan sepanjang menuntut dalam institusi dan organisasi ini. Semoga Teruskanlah kesinambungan kepimpinan yang cemerlang. Sayonara MPPUTP 2012.  

Sekalung ucapan maaf kepada warga pelajar Universiti Teknologi Petronas atas kekhilafan dan kelemahan sepanjang membimbing organisasi pelajar ini. Sesungguhnya, tidaklah sedikit kekurangan pihak kami dalam mengurus emosi, kritikan, pandangan dan saranan sahabat-sahabat. Teruskanlah memberi sokongan dan suntikan berharga kepada MPPUTP yang akan datang semoga agenda kebajikan dan pembangunan pelajar diperkayakan. InsyaAllah.

Bhavani, Sharifah, Mahasiswa dan Hak Bersuara

Komen ringkas saya berkenaan babak yang ‘mengaibkan’ pihak tertentu khususnya mahasiswa menerusi satu forum bertajuk ‘Seiringkah Mahasiswa dan Politik’ anjuran NGO Suara Wanita 1 Malaysia dikampus Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok.

Saya mengikuti pelbagai reaksi yang diberikan oleh banyak pihak, sebahagian besarnya daripada Mahasiswa. Pertamanya, saya sebagai mewakili majoroti Mahasiswa merasakan ‘insiden’ seperti ini tidak wajar berlaku kerana tujuan forum tersebut adalah murni sebagai medium interaksi berhubung isu politik yang agak berat, apatah lagi bertempat di sebuah Universiti. Saya tidak pasti motif sebenar disebalik tindakan provokatif yang menyentuh beberapa sentimen oleh Presiden SW1M Sharifah Zohrah, samada disengajakan atau tidak. Saya tidak melihat rakaman penuh forum tersebut dan enggan mengulas terperinci intipati yang saudara Sharifah berikan. Saya sentiasa meletakkan kepercayaan kepada semua pihak, mahasiswa ataupun masyarakat umum untuk menilai. Masing-masing mampu untuk menimbang tara terhadap teori-teori, kritikan dan pandangan.

Satu hal yang wajib difahami dan diaplikasikan oleh Mahasiswa ialah seseorang Mahasiswa tidak harus takut atau berasa terkongkong apabila tampil bersuara. Aspirasi dan ideologi mahasiswa mungkin sedikit berbeza tetapi asas kepada perjuangan Mahasiswa adalah kita masih dalam lingkaran pembelajaran formal dan tidak formal yang sentiasa berlaku. Fenomena cabar-mencabar idea dan mencabar sistem adalah perkara yang sihat yang akan mematangkan pemikiran dan hasil yang lumayan. Selaku Mahasiswa, saya melihat tindakan berani saudari Bawani layak dipuji. Beliau memiliki aspirasi yang beliau fikirkan betul diatas platform yang betul untuk bersuara melalui forum-forum sebegini. Kepada penganjur forum, jika takut dan tidak bersedia berdepan dengan minda belajar mahasiswa dalam forum-forum atau mana-mana persidangan, lebih baik jangan dianjurkan sama sekali. Malu apabila dalam pentas kebebasan bersuara seperti ini, hak bersuara dicantas habis-habisan oleh individu yang kononnya paling faham hal-hal kebebasan bersuara.

Selaku golongan terpelajar, sebagai mahasiswa di institusi pengajian tertinggi ini, kita mesti berani dan bersedia  membela hak mahasiswa, suara mahasiswa mesti vocal, maruah dan prinsip sebagai mahasiswa mesti dijunjung, tanpa menyeleweng daripada landasan iman dan ilmu. Sebab itulah, mahasiswa menyambut baik seruan intelektual dalam forum-forum dan diskusi agar idea mahasiswa dapat disalurkan pada tempatnya. Jangan sesekali mengambil kesempatan atas peluang yang mahasiswa berikan dengan membentangkan panjang lebar agenda hipokrit kerajaan ataupun pembangkang. Manakala agenda yang rasional, ikhlas dan benar pula mesti mahasiswa sokong samada daripada kerajaan atau pihak yang tidak sebulu dengan kerajaan.

Presiden SW1M mesti akur dengan tindakan beliau yang menegur seseorang mahasiswa yang sedang bertatih mencabar idea dan tindak tanduk pemerintah. Seharusnya sebagai seorang yang mengakui punya nilai kebebasan bersuara, hormat-menghormati dan meraikan semua pendapat, Sharifah mesti memohon maaf kepada Bawani setelah bermacam-tohmahan dihamburkan. ‘Pengaiban’ yang dilakukan bukan keatas Bawani semata-mata, tetapi tempiasnya turut mengena seluruh Mahasiswa Malaysia yang semakin matang pada hari ini. Bukan Bawani sahaja yang terasa, seluruh Mahasiswa terasa maruah mereka direndahkan, suara mereka diendahkan.

Sebagai menghargai teras intelektual mahasiswa yang tinggi, saya berpesan kepada diri saya, kepada kepimpinan Mahasiswa dan kepada warga mahasiswa, sama-samalah kita ukur tindakan dan daya fikir kita agar tidak terlalu beremosi dan provokatif, yang akan kita tonjolkan kepada masyarakat dan sang pemerintah bahawa mahasiswa hari ini semakin bijak dan pengaruh mahasiswa merentasi setiap perkara. Usah memperjudi maruah kita dengan tawaran material, tegakkan prinsip dan promosikan perjuangan kita agar dimartabatkan bukan diperlekeh.

Tuntasnya, disana hikmah disebalik perkara ini, mahasiswa kian membuka mata dan mata hati. Bukan salah UUM atau pelajarnya, UUM hanyalah pentas yang mencetuskan aura kebangkitan semula mahasiswa yang selama ini terdiam dan dibisukan. Jadikan ianya sebagai medan muhasabah untuk kita bersama mudah-mudahan pengajaran berharga ini menjadi milik mahasiswa seluruhnya. Mahasiswa seperti Bawani bukan seorang, dan beliau tidak keseorangan. Mahasiswa-mahasiswa yang jiwanya seperti Bawani sedang dicetak dimerata pusat pengajian. Syabas Bawani! Sebagai tanda penghormatan kepada pihak yang cintakan kebebasan bersuara, MPPUTP sesi baharu atau saya sendiri atas kapasiti alumni Universiti Teknologi Petronas bersedia menawarkan penganjuran program-program seumpama forum tersebut. Kalau bukan Sharifah Zohrah yang hadir, orang lain pun tidak mengapa. Asalkan kita berdepan dan mencabar atas dasar ilmu dan hujah. Saya yakin dan akan terus yakin Mahasiswa UTP juga akan sentiasa bersedia dan mengalu-alukan penganjuran tersebut. Mahasiswa sebagai kuasa ketiga InsyaAllah mampu melakukan perubahan yang signifikan dalam sistem demokrasi ini menjelang Pilihanraya Umum 13 nanti. InsyaAllah. Takbir!

 

Wan Ibrahim Wan Mamat al-Kutani

YDP Majlis Perwakilan Pelajar Duta Mahasiswa 2012/13

Universiti Teknologi Petronas

 
Leave a comment

Posted by on January 16, 2013 in Nota Terbuka