RSS

Category Archives: Politik & Isu Semasa

Bajet 2013: Adakah Selari Dengan Syariah Serta Adil Kepada Generasi Akan Datang?

Bajet 2013: Adakah Selari Dengan Syariah Serta Adil Kepada Generasi Akan Datang?

Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail
Dept. of Business Strategy and Policy, University Malaya
 
Pelbagai pandangan telah diberikan terhadap Bajet 2013 yang baru dibentangkan oleh Perdana Menteri. Ramai pihak mempunyai pandangan yang positif kerana banyak bantuan akan diberikan kepada pelbagai pihak terutama sekali yang berpendapatan rendah, serta golongan petani dan nelayan, warga tua, pelajar dan masyarakat luar bandar. Golongan muda yang berpendapatan rendah juga turut mendapat manfaat dalam bentuk rebat pembelian telefon bimbit berjumlah RM200, iaitu satu langkah yang tidak pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini. Dalam erti kata yang lain, boleh dikatakan hampir kesemua golongan rakyat mendapat manfaat dari bajet tersebut.

Bagi kita orang Islam, apa yang menjadi perkiraan utama dalam menilai bajet tersebut sepatutnya bukanlah manfaat keduniaan kepada diri sendiri semata-mata. Yang lebih penting ialah adakah bajet tersebut sehaluan dengan prinsip dan ajaran Islam atau tidak. Ini kerana sebagai orang Islam, kita semua telah dididik dengan ajaran Al-Quraan bahawa sumber kesejahteraan negara dan masyarakat adalah di tangan Allah SWT. Negara tidak akan aman damai dan sejahtera tanpa keizinan Allah yang Maha Berkuasa. Apa pun perkara yang kita lakukan, termasuk dalam merangka bajet negara mestilah dilakukan dengan pertimbangan mencari keredhaan Allah SWT semata-mata. Oleh itu, isu utama yang perlu dikaji ialah sama ada Bajet 2013 bercanggah atau tidak dengan Syariat Islam.

Jawapan kepada persoalan sama ada Bajet 2013 bercanggah atau tidak dengan Syariat Islam adalah agak jelas. Ini kerana ciri utama kepada bajet tersebut ialah ia memerlukan kerajaan menambahkan hutangnya lagi untuk tahun yang ke-16 berturut-turut semenjak dari tahun 1997.  Akibat dari belanjawan yang sentiasa berbentuk defisit dalam tempoh yang lama itu, hutang terkumpul kerajaan sekarang sudah mencapai RM503 billion. Jumlah berkenaan adalah satu jumlah yang sangat besar terutama sekali jika kita mengambil maklum bahawa hutang kerajaan hanya berjumlah tidak sampai RM5 billion pada tahun 1970.

Dari perspektif Islam, adalah tidak salah untuk kerajaan berhutang untuk memberikan manfaat kepada rakyat. Tetapi langkah berhutang tersebut mesti memenuhi dua syarat utama iaitu hutang tersebut bebas dari unsur Riba serta hutang tersebut boleh dibayar balik oleh kerajaan. Malangnya kedua-dua syarat utama tersebut jelas tidak dapat dipenuhi. Sumber utama kepada hutang negara adalah dengan menggunakan instrumen `Sekuriti Kerajaan Malaysia’ (Malaysian Government Securities atau MGS) yang menggunakan kaedah Riba yang jelas haram dari perspektif Syariah. Tambahan pula, hutang kerajaan yang terkumpul sekarang telah meningkat ke angka lebih dari separuh trillion Ringgit dengan penjelasan hutang tahunan (Debt Service) yang meningkat setiap tahun. Untuk makluman, pada tahun 1998 penjelasan hutang tahunan oleh kerajaan hanya berjumlah RM7 billion, namun sekarang ini ianya akan melebihi RM20 billion setahun pada tahun 2013. Tren ini jelas membuktikan bahawa kerajaan sekarang ini bukan sahaja tidak berupaya mengambil langkah mengurangkan jumlah hutangnya, bahkan juga tidak berupaya atau tidak bercadang untuk mengambil langkah untuk mengelak dari menambahkan beban hutangnya.

Sebenarnya kaedah pembiayaan kewangan negara sudah jauh tersimpang dari pendekatan Islam. Di dalam Islam sepatutnya kerajaan hanya berbelanja untuk rakyat berdasarkan pendapatan yang diperolehi sahaja. Di samping itu, pendapatan utama kerajaan sepatutnya adalah dari sumber yang terhad sahaja seperti hasil galian seperti minyak atau bijih, atau sewaan harta kerajaan (Kharaj) atau zakat di mana zakat hanya boleh dibelanjakan menurut syarat yang ketat sahaja. Ramai ulamak berpendapat bahawa kerajaan mesti mengelak dari memperolehi pendapatan melalui percukaian yang dikenakan ke atas rakyat atau melalui sumber hutang. Menurut mereka, percukaian sebagai sumber pendapatan atau melalui hutang sepatutnya hanya dilakukan sebagai langkah terakhir dan untuk keperluan mendesak sahaja seperti untuk membantu memberi makan kepada golongan miskin dan melarat atau untuk tujuan pertahanan negara. Jika kerajaan mempunyai sumber pendapatan dari sumber galian atau dari pemilikan harta seperti tanah dan sebagainya, maka sepatutnya kerajaan tidak lagi perlu untuk mengenakan cukai kepada rakyat atau berhutang.

Sebaliknya sekarang kita menghadapi senario di mana kerajaan bukan sahaja mengenakan cukai kepada rakyat dalam berbagai bentuk termasuk cukai impot kereta dan sebagainya bahkan kerajaan juga sedang menambahkan jumlah hutang terkumpul ke tahap lebih dari lima ratus billion Ringgit.  Negara kita adalah sebuah negara yang kaya dengan sumber asli dan bukannya sebuah negara yang kering kontang. Di samping itu rakyatnya juga adalah berpendidikan, mahir serta rajin. Ramai yang sanggup kerja siang dan malam untuk mencari rezeki. Oleh itu, jika pengurusan kewangan kerajaan dilakukan dengan baik dari dulu lagi dan jika langkah yang serius diambil untuk mengelak dari berlakunya pembaziran dan ketirisan dalam perbelanjaan, maka sebenarnya tidak ada sebab kenapa kerajaan harus berhutang untuk membiayai perbelanjaannya.

Pada hakikatnya hutang kerajaan ini mesti dibayar pada satu hari nanti dan sudah tentu yang bertanggungjawab membayar hutang-hutang tersebut adalah generasi akan datang, iaitu generasi anak-anak dan cucu-cucu kita. Untuk menangani masalah hutang kerajaan ini di masa hadapan  perbelanjaan kerajaan sudah tentu akan terpaksa dikurangkan sementara pendapatan kerajaan pula sudah tentu juga perlu ditambahkan. Ini bermakna satu hari nanti polisi-polisi berikut akan terpaksa dilaksanakan:
1)         Cukai akan dinaikkan. Ini termasuk cukai pendapatan, cukai impot, cukai perkhidmatan, cukai jualan dan lain-lain
2)         Pelbagai bentuk subsidi terpaksa dikurangkan atau dihapuskan, termasuk subsidi minyak petrol dan disel, subsidi makanan, subsidi padi, subsidi pendidikan dan lain-lain
3)         Yuran bagi perkhidmatan kerajaan akan terpaksa dinaikkan seperti yuran persekolahan, yuran perkhidmatan kesihatan dan lain-lain
4)         Gaji penjawat awam akan terpaksa dipotong
5)         Pencen juga akan terpaksa dipotong
6)         Usia persaraan akan dilanjutkan
7)         Saiz sektor awam terpaksa dikecilkan dengan memberhentikan pekerja sektor awam secara paksa
8)         Dan lain-lain langkah yang difikirkan perlu untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan
Saya sangat yakin tentang keperluan langkah di atas dilaksanakan satu hari nanti kerana sebenarnya kesemuanya telah dan sedang dilaksanakan di beberapa buah negara di Eropah seperti Britain, Greece dan Sepanyol. Ini adalah kerana di tahun-tahun sebelumnya, semua kerajaan-kerajaan di negara-negara tersebut,  seperti juga di negara kita,  telah melaksanakan bajet yang defisit setiap tahun serta menambahkan hutang terkumpul kerajaan. Faktor utama adalah kerana kerajaan-kerajaan tersebut sentiasa bersaing untuk menjadi popular di mata rakyat dan oleh itu telah berbelanja dengan tidak berhemah untuk memberikan kesenangan kepada rakyat dengan harapan rakyat akan memberi undi kepada mereka setiap kali pilihanraya umum dijalankan. Akibatnya jumlah hutang terkumpul kerajaan telah menjadi terlampau tinggi. Oleh itu, sekarang ini mereka tidak dapat lagi mengelak dari mengambil langkah berjimat cermat yang drastik dengan cara memotong pelbagai jenis perbelanjaan dan menarik balik pelbagai bentuk subsidi untuk memastikan saluran hutang dari pihak-pihak pemiutang masih terbuka.

Sudah tentu langkah berjimat cermat ini tidak dipersetujui oleh rakyat. Mereka merasakan bahawa keadaan adalah tidak adil kerana mereka yang tidak bersalah terpaksa menanggung penderitaan akibat dari kesilapan pemimpin politik dalam menguruskan kewangan negara. Akibatnya telah berlaku protes dan tunjuk perasaan yang bersiri oleh rakyat yang sudah tidak tahan dengan penderitaan akibat dari langkah penjimatan tersebut. Seringkali protes menjadi ganas yang mengakibatkan ramai tercedera dan banyak harta benda rosak atau musnah. Bahkan ramai dari  warga negara mereka yang telah membunuh diri akibat tekanan kehidupan yang tidak dapat ditanggung serta perasaan kecewa dan putus harapan dengan masa depan yang dilihat semakin sempit, gelap dan menakutkan.

Kita kena sedar bahawa maqasid atau tujuan Syariat Islam adalah untuk mendatangkan manfaat kepada masyarakat. Senario kegawatan ekonomi, huru-hara dan kesengsaraan yang sedang berlaku di negara-negara Eropah dan yang juga akan berlaku di negara kita jika kaedah pengurusan kewangan negara ini tidak diubah kepada cara Islam jelas menunjukkan bahawa adalah menjadi tanggungawab semua ahli masyarakat, terutama sekali dari kalangan mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai pendakwah berusaha dengan segala daya mereka untuk memastikan bahawa ajaran Islam diamalkan sepenuhnya di dalam semua aspek kehidupan termasuk di dalam aspek penyediaan bajet negara.

Akhir sekali, isu yang perlu difikirkan ialah tentang isu keadilan kepada generasi akan datang. Sekarang ini kerajaan jelas sedang mengejar populariti di mata rakyat dan telah memberikan rakyat banyak manfaat menerusi Bajet 2013 supaya semua merasa senang dan berpuas hati. Persoalannya, adakah kerajaan juga telah berlaku adil kepada generasi akan datang yang akan menderita di hari muka akibat dari terpaksa menghadapi berbagai masalah hasil dari langkah yang terpaksa diambil untuk membayar balik semua hutang yang kelak nanti sudah sampai ke tahap yang tidak dapat ditanggung lagi?

Advertisements
 
 

Aku Benci Politik!

Renungan buat mereka yang berkata, “Saya benci politik. Politik kotor, memecah belahkan, saling memfitnah dan terlalu sukar dipercayai janji orang-orang politik. Saya mahu menjaga ugama saya,” mari berfikir sejenak;

50 Ahli Politik Malaysia Paling Berpengaruh

1) Adakah dengan menjauhi politik, anda terjamin jadi bersih? Tidakkah dunia ini seluruh penjurunya bercampur baur antara baik dan buruk dan kita sendirilah yang menentukan untuk kita?

2) Adakah orang-orang mulia seperti para ulama dan mujahidin sepanjang zaman yang terlibat dalam politik peringkat tertinggi telah menjadi kotor kerananya?

3) Bagaimana anda menakrifkan politik baginda al Rasul صلى الله عليه وسلم yang memuncak sehingga terpaksa berperang dengan senjata?

4) Jika orang yang ‘bersih’ seperti anda menjauhi politik, apa hukum membiarkan dunia politik untuk dikuasai orang-orang yang kotor?

5) Jika hak anda dicabuli oleh orang politik, seperti dibekukan kenaikan pangkat semata-mata kerana enggan menyokong orang politik, adakah satu kemuliaan dan ‘kebersihan’ jika anda hanya diam membisu atau menolak orang yang datang membantu mempertahankan hak anda itu?

6) Adakah untuk anda mencampuri politik, ia memerlukan sehingga tubuh anda dan keluarga sendiri dianiayai dulu oleh orang politik, atau cukup dengan melihat saudara seagama yang lain dianiaya. Adakah anda mahu terhantuk dulu baru tengadah?

7) Adakah anda melihat agama Islam mengajar agar dijauhi politik dan orang politik?

8) Adakah anda melihat seorang nabi bukan ahli politik? Dengan maksud, nabi diutuskan untuk menjauhkan umat daripada politik?

9) Apakah pendapat anda untuk menjatuhkan ahli politik yang jahat tanpa menyentuh politik?

10) Adakah anda menemui dalil atau nas yang membenarkan anda lari dari tanggung jawab menentang kemungkaran politik?

 

– UNMANAZ

 

PILIHANRAYA, satu pilihan atau kewajipan?

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah. Saya kini berumur 22 tahun tanggal 31 Januari yang lalu. Usia makin bertambah, umur makin berkurang. Dalam tiba-tiba tanpa kabar berita, jiwa ini diragut Sang malaikait Izrail. Buat pengetahuan, 31 Januari 2010, genap umur saya 21 tahun. Teringat pula dalam perlembagaan Malaysia, rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun layak mengundi. Bersemangat!. Keesokannya saya terus ke pejabat pos. Semata-mata ingin menjadi pengundi berdaftar. Mujurlah, kita nama saya termasuk dalam sistem, antara 12-15 juta rakyat Malaysia yang boleh mengundi. Kini, undi saya boleh dikira penting untuk mengubah kerajaan sedia ada! No offense.

Hrmm, minggu ini sahaja saya berkesempatan menziarahi 2 keluarga yang diuji dengan kematian. Alhamdulillah, sempat juga menjadi makmum solat jenazah. Hari ini pula, ayah kepada seorang sahabat muslimat dikampus dijemput oleh Allah Taala. Semoga roh mereka berada dalam kebaikan dan dijauhi siksaan daripada-Nya.

Menghadiri pengurusan jenazah dan pengkebumian sepatutnya menginsafkan kita. Orang-orang beriman semakin bertambah iman mereka apabila sesuatu kematian itu direnung. Bukankah Nabi SAW juga bersabda, mukmin yang paling bijak adalah mukmin yang sentiasa mengingatkan kematian. Kematian itu sebagai suatu motivasi, bukan de-motivasi.

InsyaAllah, posting kali ini berkisar kepada tanda tanya yang jarang kita telusuri. Tidak cakna.

Semoga artikel kali ini bermanfaat untuk semua.

Putrajaya, tempat bertapaknya sesebuah kekuasaan yang menjadi pusat pentadbiran negara.

Sebelum menyentuh perihal pilihanraya, hendaklah dijelaskan tentang kewajipan menegakkan kerajaan atau khilafah Islam.

a) Para ulama Ahlul as—Sunnah Wal Jamaah telah bersatu pendapat bahawa menegakkan kerajaan Islam adalah wajib, iaitu pemerintahan yang melaksanakan seluruh tuntutan syariat Islam dalam pelbagai bidang meliputi undang-undang,ekonomi,pentadbiran,kemasyarakatan dan sebagainya.Kewajipan ini disebut oleh ulama dalam prbahasan mereka seperti Al Mawardi,Ibnu Khaldun,Al Imam Juwairi dan lain-lain lagi.

b) Kewajipan menegakkan negara Islam adalah bergantung kepada sokongan rakyat,maka seluruh umat Islam adlah berkewajipan memberi ketaatan kepada pemimpin yang adil ,iaitu yang melaksanakan hukum-hukum Allah dan syariat Allah .

Ulama telah menyatakan kewajipan menegakkan pemerintahan Islam adalah berdasarkan kepada dalil naqli (Al quran ,hadis dan ijma’) dan dalil aqli (akal).Dalil al quran surah An-Nisa’ ayat 59

Mafhunya: Wahai orang yang beriman taatila Allah dan taatilah Rasul dan pemerintah dikalangan kamu

Ayat ini mewajibkan kepda kita mentaati Allah ,Rasul dan Ulil ‘amri (pemimpin)yang memerintah kita .(selama mana mereka mentaati Allah dan Rasulnya).

Selain daripada dalil Al quran dan as- sunnah ,para sahabat r.a dan tabi’en telah sebulat suara mengatakan wajibnya menegakkan pemerintahan Islam.Dalil akal ialah,manusia tidak boleh hidup tanpa suatu organisasi yang mentadbir urusan mereka kerana kerana seorang manusia tidak mampu melakukan semua kerja mereka kecuali di medan tertentu sahaja.Oleh yang demikian kuasa mentadbir negara adalah dibawah bidang kuasa pemerintah.Yang berkuasa dalam negara Islam ialah pemerintah yang menggantikan pemerintahan Rasulullah. Berdasarkan kepada penggantian ini,maka Al Imam Al-Mawardi telah memberi kan ta’rif kepimpinan (imamah) ialah menjaga agama dan mentadbir dunia dengannya.

Dalil akli yang lain ialah bersandarkan kepada sabda nabi SAW maksudnya : Jika tiga orang berada dalam pelayaran maka hendaklah mereka melantik seorang ketua.

Hadis ini menunjukkan bahawa nabi menyuruh melantik seorang ketua dalam kumpulan yang kecil,maka lebih utama dalam hal pemerintan negara.

c) Berdasarkan penjelasan tadi ,maka kita melihat kepada sistem pilihanraya yang dijalankan di Malaysia sebagai cara memilih pemimpin,maka hukum mengundi adalah WAJIB ke atas umat Islam kerana pilihanraya adalah satu-satunya cara memilih dan melantik pemimpin. Sedangkan mereka yang tidak mengundi adalah mereka yang cuai dan meninggalkan salah satu tanggungjawab yang penting dalam menentukan urusan perlantikan pemimpin mereka.

Mengundi boleh dianggap sebagai persaksian (syahadah) seseorang terhadap perlantikan seseorang pemimpin sebagai mana persaksian para sahabat dalam perlantikan Saidina Abu Bakar di Saqifah Bani Sa’idah.Belia telah dicalonkan oleh Saidina Umar r.a kemudian dibai’ah oleh semua umat Islam di Masjid Nabawi.

Berdasarkan kepada ini,menjadi kewajipan kepada umat Islam yang aqil baligh memberikan persaksian,pengundian tentang perlantikan atas nama bai’ah sebagai sabda nabi SAW :

 

Sesiapa yang mati tanpa memberia bai’ah ( sokongan ) maka ia mati sebaimana orang jahiliah

Islam juga menjadikan pelaksanaan hukum Islam itu sebagai tujuan yang paling utama – adapun mengundi adalah satu cara untuk mendapatkan pemerintahan dan seterusnya mengubah dan mengembalikan segala-galanya mengikut hukum Allah SWT.

Jika kita tinjau dengan mata hati yang insaf terhadap Islam yang sebenarnya,kita akan mendapati tidak ada satu nas syar’ie pun yang mengharamkan pengundian.Malahan cara –cara pemelihan mengundi telah diperaktikkan oleh Rasullulah dan juga para sahabat dalam beberapa situasi penting dalam sejarah umat Islam.

Cukup untuk penulis bawakan beberapa contoh. Antaranya keputusan untuk berperang diluar kota Madinah dalam peperangan Uhud telah diputuskan oleh pihak undi majoriti yang kebanyakannya daripada undi para pemuda Islam yang bersemangat.

Kedua,Rasulullah mennggalkan cadangan berdamai dalam peperangan Ahzab dengan gadaian 1/3 tamar madinah ekoran bangkangan majoriti daripada sahabat baginda.

Bahkan cara ini juga tidak bercanggah daripada protokol bai’ah yang dikehendaki dalam Islam.Ini adalah umpama yang berlaku kepda pemilihan yang dibuat setelah kewafatan Saidina Umar ra ,Beliau telah memilih enam orang calon yang layak untuk memegang tampok pemerintahan umat Islam dan meninggalkan keputusan memilih khalifah kepada umat Islam.Begitu juga yang berlaku dalam peperangan Mu’tah Rasulullah telah melantik 3 orang pimpinan yang akhirnya menemui syahadah terlebih dahulu.Lantas tampuk kepimpinan tentera itu diserahkan kepada umat Islam (segerombolan tentera)itu untuk memilihnya.Lantas ditabalkan S.Khalid Al Walid untuk tugasan itu dan ini telah diperkenankan oleh nabi SAW .

Jadi kita seolah-olah berdepan dengan calon yang telah dipilih oleh Majlis Syura atau Ahlul Halli Wal Aqdi yang dikira layak untuk mengemudi pemerintahan .Kemudiannya sesiapa yang mendapat suara majoriti dari rakyat akan dilantik menjadi Imam dan layak diberi bai’ah. Ini adalah umpama pilihanraya yang berlaku sekarang ini,cuma yang berbezanya addalah calon-calon yang terlantik pada zaman yang terdahulu sudah ditapis dari segi agama dan akhlak nya dan sememangnya mampu untuk memegang amanah dalam melaksanakan hukum Allah di atas muka bumi ini.

Ciri-ciri pemimpin Islam yang sebenar

Kewajipan melantik pemimpin yang adil adalah merupakan satu tanggungjawab yang tidak dapat disangkal lagi buat setiap insan yang mengungkap dua kalimah syahadah ,ini kerana pemimpin adalah merupakan khalifah Allah yang melata diatas muka bumi allah ini.Kepincangan dalam pemilihan ini sebenarnya boleh membawa kepada lenyapnya keadilan dan keamanan dan seterusnya akan meletusnya kemungkaran dan kerosakan yang tidak terhingga.

Maka tidak hairanlah ,islam telah menjanjikan kedudukan yang tinggi kepada para imam yang adil dan mereka inilah pewaris para nabi yang sentiasa menjaga kesucian agama allah daripada terus dicemari.Sabda rasulullah dalam hadisnya:

Orang yang paling disayangi oleh Allah pada hari kiamat dan paling rapat kedudukan nya dengan allah kelak ialah para imam yang adil. Riwayat Tarmizi.

Justeru, islam telah melakarkan kepada kita beberapa ciri yang perlu ada pada umara-rabbani ini.:antaranya:

1 . Islam . Pemimpin itu mestilah seorang muslim yang benar-benar menghayati agamanya. Ini kerana islam tidak membenarkan adanya golongan kafir yang memerintah umat islam.

2 . Adil . Sifat ini perlu dimiliki oleh pemimpin umat islam ,ekoran peri pentingnya tampuk pemerintahan yang dipegang itu.Ia adalah ibarat penyaksian kepada terlaksananya hukum Allah atau tidak dimuka buminya ini. Sebagaimana syarat penerimaaan syahadah dalam hukum jenayah memerlukan sifat adil ini, maka apatah lagi tugas besar memimpin umat islam.

3 . Ilmu. Golongan ulama dan umara perlu digabungkan untuk membentuk satu kesatuan bersepadu merencanakan arah geraknya masyarakat islam didalam kehidupan seharian.Apatah lagi kalau sifat ini dimiliki pula oleh seorang pemimpin yang berwibawa dan berhemah tinggi.

4 . Melaksanakan hukum Allah.

5 . Bersikap sama rata dan tidak berlaku zalim.

Oleh itu, diakhir jawapan kami, sukalah penulis bawakan sepotong kata-kata jawapan yang telah dinyatyakan oleh Al-imam hasan al basri kepada Amirul mukminin –Umar bin abd aziz ketika ditanya tentang apakah kriteria sebenar seorang pemimpin umat islam dengan katanya;.

” Sesungguhnya Allah telah menjadikanpara imam yang adil itu adalah pembaiki kepada kerosakan,pembetul kepada penyelewengan ,pemusnah kepada kezaliman,dan pembela kepada yang lemah,pembantu kepada yang dizalimi; Dialah yang melaksanakan hak-hak Allah kepada hambanya,mendengar ayat-ayat Allah dan memperdengarkannya kepada rakyatnya,melihat tanda kekuasaaannya dan memperlihatkannya kepada mereka,berjalan diatas tali Allah dan mengajak manusia bersamanya,..dia umpama seorang hamba kepada para rakyatnaya –menjaga harta dan juga keluarga tuannya, tidak sekali-sekali menghukum dengan cara jahiliah danmengikut hawa nafsu mereka,tidak menyelusuri jalan orang-orang yang zalim ,tidak bersifat dengan golongan pembesar mustakbirin dalam menindas golongan lemah mustada’fin ,dialah penjaga anak yatim ,pembantu kepada orang –orang miskin,mendidik anak-anak mereka dan menjaga kaum tua mereka.”

Beginilah syakhsiah yang kita cari,dan inilah kriteria kepimpinan yang diimpikan oleh islam dalam masalah ini.Cuma apa yang diharapkan ialah mereka ini mampu untuk melaksanakan perintah dan hukum allah diatas bumi ini.

 
Leave a comment

Posted by on February 25, 2011 in Politik & Isu Semasa