RSS

5 Teras Utama Tawaran buat Mahasiswa UTP

24 Feb

5 Teras Utama Tawaran buat Mahasiswa UTP

Memupuk Perpaduan Mahasiswa Unggul

A More Perfect Student Unity

Setinggi-tinggi pujian dan rasa syukur kepada Allah SWT yang melimpahkan keizinan seterusnya keringanan kepada penulis untuk menukilkan suatu agenda murni demi kemaslahatan warga Mahasiswa di taman ilmu dan budi, Universiti Teknologi Petronas. Suatu catatan yang InsyaAllah didalamnya terjurus jalinan hasrat dan cita-cita yang lahir bersumberkan kefahaman yang sahih, keikhlasan yang suci dan sebuah tanggungjawab yang bakal diamanahkan. Mudah-mudahan hasrat dan cita ini terbimbing melalui sebuah kepimpinan pelajar menerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUTP) yang mapan dan progresif, berdedikasi, tegas dan prihatin lantas membuahkan demikian banyak hasil, reformasi demi reformasi, paradikma yang dinamik ke arah impian memupuk perpaduan Mahasiswa yang unggul, yang mampu difahami dan dihayati seluruh warga kampus. Catatan terbuka ini tidak berhajat untuk mengungkit ungkapan-ungkapan yang sensitif ,provokatif  atau konfrontif. Ia sekadar cuba mencerminkan pemikiran, pandangan peribadi dan umum penulis dalam konteks mewujudkan suatu kerangka baru yang lebih baik dan segar untuk semua. Kerangka yang dimaksudkan adalah kerangka konsultif, iaitu governance baru pembangunan mahasiswa berfokus di bumi UTP yang merupakan intipati lanjut bahagian dalam tulisan ini. InsyaAllah.

Izinkan Mahasiswa menjadi Mahasiswa.

Mahasiswa. Suatu istilah lama yang merujuk kepada golongan terpelajar yang menuntut di pusat pengajian tinggi IPTA/IPTS. Gelaran yang cukup gah, tetapi hilang sengatnya akibat dibelenggu krisis perjuangan ideologi mahasiswa yang dipekung oleh beberapa akta dan peraturan manusia yang menyekat. Sekitar 4 dekad lalu sehingga usia 2012, suara-suara lantang, sinis dan penuh kritikan yang mendambakan perubahan kini menjadi terlalu asing, kerdil dan terlalu sunyi. Dalam tempoh itu, mahasiswa tidak lagi bersuara. Mungkin masih kedengaran suara-suara halus yang berbisik sesama mereka dikuliah-kuliah dan kantin. Apakan daya, ibarat diluah mati bapak ditelan mati emak. Serba serbi tidak kena sungguhpun dunia luar haru biru. Masyarakat terumbang ambing dalam sistem anjuran manusia yang jelas rakus berkepentingan.

Fungsi mahasiswa sebagai agen perubahan masyarakat dan timbang tara negara ternyata terus pucat hampir mati tidak lagi sehebat zaman kemuncaknya sebelum 1974. Tidak muncul lagi ikon-ikon mahasiswa klon Anwar Ibrahim, Husam Musa, Saifudin Abdullah dan lainnya sehinggalah insiden berdarah yang melonjakkan nama Adam Adli dan Safwan Anang sebagai reformis dan aktivis mahasiswa tanggal malam tahun baru 2012. Biarpun sikap bias dan mencengkam pihak tertentu berterusan menerjang mahasiswa, dari pandang sisi positif, ini petanda mahasiswa mulai kelihatan bangkit mencipta peranan mereka. Kembali nya mereka dengan keringat dan tohmahan demi meraih simpati mahasiswa untuk turut bersama dalam front-front mahasiswa yang jelas halatujunya. Moga-moga kekuatan dan keupayaan kembali terjana untuk muncul sebagai agen intelektual ditengah-tengah kemelut masyarakat, cukup sekadar penawar walapun belum mampu sebagai penawar. Mereka diluar telah dan sedang melakukan apa yang sepatutnya mereka pamerkan kepada masyarakat. Sedarilah bahawa kita juga mahasiswa seperti mereka. Tetapi kita bagaimana? Dimana posisi kita yang selayaknya?

Mengambil ibrah (pengajaran) daripada sirah perjuangan Mahasiswa dipelusuk tanah air, mahasiswa millenium kini harus tercabar rasa malu kerana peranan yang patut digerakkan dibiarkan lesu seperti jenazah, berjasad tetapi tidak ada ruh yang menghidupkan. Terimalah realiti semasa pada hari ini. Amanah kita untuk mengembalikan ruh mahasiswa yang sekian lama melayang tidak berpasak pada jasadnya. Kembalikan nilai minda intelektual yang terpendam dibilik-bilik kuliah. Kembalikan peribadi mahasiswa yang jauh terkehadapan, ambil peduli soal mahasiswa lain yang berkesan dalam masyarakat. Agama dan bangsa memerlukan mahasiswa yang matang dan berjiwa besar yang bakal terjun kedalam dunia yang sophisticated sebagai jaguh yang menjuarai isu-isu masyarakat.

Mahasiswa UTP khususnya. Beranikan diri!  Keluarlah dari kepompong  comfort zone yang membuatkan kita berasa terlalu qanaah, berasa cukup dengan apa yang ada pada diri sendiri. Berhentilah daripada hanya cukup berkata tidak, berganjak untuk mula berkata ya dan menggembleng keupayaan yang ada. Kita mungkin kecil tetapi mampu mengarahkan peranan yang cukup besar untuk warga kampus dan masyarakat yang meninjau dari luar.

‘Manusia yang terbaik dari kalangan kamu adalah manusia yang bermanfaat kepada orang lain’Sabda Rasulullah SAW

Memimpin Mahasiswa Beragenda

Kehangatan Pilihanraya Kampus (PRK) bagi pemilihan barisan kepimpinan baru Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Petronas bagi sesi 2012 semakin dirasai. Penuntut di kolej-kolej kediaman mula bercakap-cakap dan tertanya-tanya siapakah yang bakal menerajui tampuk kepimpinan MPPUTP sesi baru ini. Bara pilihanraya sedang ditiup mengharapkan kehangatan yang dapat dirasai oleh segenap penuntut universiti teknikal swasta ulung ini. Mujurlah ramai yang telah menyedari gelombang PRK, namun terlebih ramai para pelajar yang pada hemat penulis mereka belum cakna dan tidak peduli soal PRK. Pada saya, sama-sama kita raikan mereka dengan harapan dalam tempoh berkempen yang tinggal 4 hari ini sedikit sebanyak informasi percaturan PRK sampai ke telinga mereka. Paling tidak, mereka kenal wajah-wajah calon-calon yang sedang berentap menyumbangkan yang terbaik untuk para mahasiswa.

Partisipasi individu dalam Pilihanraya Kampus UTP bukan hanya atas dasar semangat semata-mata. Kesanggupan seseorang individu itu sendiri secara jelas menunjukkan pendirian dan kesanggupan mereka untuk menjaga kepentingan pelajar. Kerana dikampus UTP ini, tidak ramai mereka yang sanggup tampil untuk mewakili suara pelajar. Atas dasar ini, saya yakin dan percaya, setiap calon pemimpin pelajar punyai agenda dan misi  tersendiri untuk dijadikan tawaran berharga kepada seluruh warga Mahasiswa UTP.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau dikebanyakan universiti tempatan yang lain lebih dikenali sebagai Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) merupakan suatu badan ‘politik’ mahasiswa yang memiliki kredibiliti yang cukup tinggi sebagai platform mengatur dan menjaga urusan mahasiswa. Bermula urusan kecemerlangan akademik, ko-kurikulum, kemasyarakatan, kemudahan infrastruktur dan lain-lain, kesemuanya terangkum dalam soal kebajikan mahasiswa. Inilah apa yang ditekankan oleh penulis menerusi ucapan pada malam manifesto calon ( 22 Feb di Dewan Canselor UTP) bahawa peranan dan fungsi yang dimainkan oleh MPP adalah untuk kebajikan mahasiswa. ‘Core business’ atau fraksi MPP yang utama dan pokok adalah kebajikan. Tidak mahu berbicara soal kebajikan pelajar, maka automatik kewujudan MPP di UTP ataupun dimana-mana kampus adalah tidak perlu dan tidak relevan sama sekali. Majlis Perwakilan Pelajar melalui apa jua kos dan kaedah, mesti tampil sebagai kesatuan pelajar yang mampu didekati oleh semua masyarakat pelajar. MPP mesti mengembalikan kepercayaan dan sinar harapan yang diberikan oleh segenap penuntut universiti.

Tidak keterlaluan jika saya katakan, mahasiswa di universiti tempatan seolah-olah sudah tiada lagi agenda besar yang ingin diperjuangkan selain agenda-agenda kecil yang hampir tiada impaknya. Harus diteliti, daripada sudut keseimbangan negara arus ini, fenomena ini adalah serius dan membimbangkan dalam usaha menyusun dan mencorak pelapis pimpinan yang sedia ada dengan lebih berkualiti dan berkarisma.

Mahasiswa beragenda yang diertikan disini adalah satu tagline yang memanggil mahasiswa selaku golongan kelas pertama supaya membawa nafas baru terhadap ideologi mahasiswa. Pusat ilmu seperti universiti serta institusi elit yang lain selayaknya melahirkan mahasiswa untuk terkehadapan mempromosikan agenda yang lebih matang dan achievable demi kebaikan pelajar, masyarakat, negara dan agama. Mahasiswa mesti menjadikan universiti sebagai platform yang terbaik untuk mengasah pemikiran yang kritis dan inovatif, juga sebagai medan untuk meneroka segenap ruang dan peluang yang ada. Mahasiswa juga perlu dilatih dan dibudayakan dengan keberanian untuk memasarkan idea, menzahirkan pemikiran yang diluar kebiasaan. Anak muda berstatus mahasiswa kini mesti lahirkan idea baru untuk perubahan berpaksikan nilai ilmu dan rukun bermasyarakat.

Justeru, halatuju mahasiswa yang memiliki agenda mesti dipimpin dengan nilai dan tujuan yang baik. Agenda yang baik tanpa taktik dan strategi yang baik juga tidak mendatangkan kesan terhadap apa dan kepada siapa ia ditujukan. Sebaliknya, agenda-agenda mahasiswa yang besar dan relevan perlu kepada saraf dan strategi yang baik. Makanya, menjadi satu lagi peranan dasar supaya memimpin mahasiswa dan agenda-agenda perjuangan mereka.

Keperluan memimpin ini juga tidak sekadar memacu halatuju dan kehendak, tetapi juga nilai kesediaan berhadapan mehnah, merasai kesukaran dan tribulasi seta berhadapan dengan tekanan. Akhirnya, faktor inilah yang nantinya membantu merajah mahasiswa yang berketrampilan dan matang.

5 Teras Utama Tawaran untuk Mahasiswa UTP

1.      Hak dan Kebajikan Mahasiswa

  • Mengambil inisiatif berkesan bagi meningkatkan prestasi akademik, terutama kelompok pelajar yang lemah
  • Menyediakan ruang seluas mungkin, menyuara dan mempertahankan suara mahasiswa UTP secara diskusi dan terbuka melalui perlaksanaan Dewan Mahasiswa yang selepas ini akan dinamakan Majlis Persidangan Persatuan dan Kelab (MPPK).
  • Menyarankan pihak pentadbiran supaya bersikap telus tentang dana Tabung Kebajikan Pelajar supaya nikmat dirasai oleh para pelajar.
  • Menggesa dan bekerjasama dengan pihak pengurusan supaya peka dengan kualiti dan harga makanan disamping mengambil kira maklumbalas pelajar pelbagai kaum dan antarabangsa.
  • Menyaran dan memantau kemudahan asas akademik dan perkampungan pelajar diuruskan dengan baik
  • Menyarankan perkhidmatan yang mesra pelajar kepada jabatan-jabatan yang berkaitan (Jab Keselamatan, Kewangan, Akademik dan Klinik)

2.       Berpersatuan dan Organisasi

  • Meningkatkan keberkesanan dan kerjasama antara persatuan dan kelab sekaligus memastikan mesej yang bersifat intelektual dan matang dicapai.
  • Memperkasa inisiatif mewujudkan usahama MPPUTP, badan-badan NGO dan agensi kerajaan.
  • Memastikan Pusat Kegiatan Pelajar (Student Centre) dimanfaatkan sebaiknya oleh persatuan dan kelab
  • Memperkasa peranan persatuan dan kelab dalam hal ehwal kebajikan pelajar menerusi perlaksanaan Dewan Mahasiswa

3.      Integriti Mahasiswa

  • Penumpuan pembinaan sahsiah dan menggembleng potensi mahasiswa, disamping membendung unsur tidak sihat dan gejala negatif
  • Memperkukuh jalinan mahasiswa diperingkat institusi pengajian tinggi
  • Mempererat integrasi mahasiswa melalui program keagamaan, kesukananan dan kebudayaan

4.     Mahasiswa dan Dunia Luar

  • Berani menyatakan pendirian Mahasiswa dalam hal ehwal masyarakat khususnya, dan negara amnya.
  • Mengambil inisiatif berkesan menerusi keterlibatan mahasiswa dengan isu negara dan antarabangsa.
  • Menyuburkan sensitiviti Mahasiswa dalam isu-isu mahasiswa, masyarakat dan negara
  • Memperkasa penggunaan media baru sebagai medium hebahan maklumat dan isu semasa.

5.     MPPUTP sebagai duta Mahasiswa

  • Berusaha memastikan MPPUTP (Hicom,Exco,Rakan Exco) dikenali dan menjadi rujukan mahasiswa
  • Berusaha kearah kepimpinan yang lebih peka, responsif, dan mesra pelajar
  • Berusaha untuk mempersiapkan ahli-ahli MPPUTP yang berketrampilan menerusi inisiatif pembangunan ahli.
  • Berusaha menjadikan MPPUTP sebagai front Mahasiswa dalam isu-isu kebajikan mahasiswa.
  • Berusaha menjadikan MPPUTP sebuah badan pelajar yang terbuka dan telus

Penulis adalah mantan Exco 1 Kebajikan Pelajar MPPUTP 09/10
Calon Umum Pilihanraya Kampus MPPUTP 12/13
 
4 Comments

Posted by on February 24, 2012 in Kampus

 

4 responses to “5 Teras Utama Tawaran buat Mahasiswa UTP

  1. anon.

    February 24, 2012 at 4:06 pm

    dont you think you are a bit too old for this? lepas habis final year final nanti nak stay utp menyumbang ke? kalau ye baguslah macam tu..

     
  2. asmirul

    February 24, 2012 at 10:13 pm

    old? what’s the meaning of old….as far as I concern from my experience old is not the measurement ..the only thing we should take a look upon is whether he will act maturely in deciding upon any issue or not , now that’s the art of leadership…way to go brother,guys from UTP please vote for this brother as he is dedicated person,knows to differ between haq and batil and such humble man ever I’ve known back in my school days..good luck ibrahim 🙂

     
    • bell

      February 28, 2012 at 4:19 pm

      yeh..membangun bersama islam..hidop klate!

       
  3. aaa

    February 25, 2012 at 3:12 pm

    old here means he is final year 2nd semester you dumbo. only got till sept to rule i guess..

     

Leave a comment